‘Voice Note’ Pengubat Rindu Salamiah Hassan Terhadap Suami - “Allah Beri Apa Yang Saya Inginkan Biarpun Hanya Dua Bulan Kami Menjadi Suami Isteri…”
Penyanyi vateran, Salamiah Hassan tidak terfikir untuk mencari pengganti lain selepas suaminya, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry pergi menghadap Ilahi.
Harap bertemu suami di syurga
Salamiah, 74, berkata cintanya terhadap suaminya itu kekal mekar dan berharap mereka akan dipertemukan semula di syurga kelak.
"Saya tak ada masa untuk dikejar (diburu cinta) dan saya hanya duduk di rumah sahaja. Saya nak jumpa suami di syurga jannah jika diizinkan Allah SWT.
"Arwah seorang yang sangat baik. Dia baca al-Quran dua kali dan lebih tahu daripada saya (bacaan al-Quran).
"Hidup ini sukar, Allah beri apa yang saya inginkan biarpun hanya dua bulan kami menjadi suami isteri.
“Saya terima takdir ini (pemergiannya) dan takkan saya nak persoalkan pula. Pasti apa yang berlaku ada sebab-sebabnya," katanya.
Salamiah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Simpan voice note suami sebagai kenangan
Dalam pada itu, Salamiah mendedahkan dia masih menyimpan 'voice note' peninggalan arwah suami di telefon pintarnya sebagai tanda kenangan.
"Saya masih menyimpan nota suara arwah. Dalam rakaman, arwah melafazkan ayat 'saya cintakan awak' dan 'Assalamualaikum' yang juga menjadi perkataan kegemarannya.
"Pernah juga terdetik untuk memadamnya, tapi bila fikir kembali, kalau saya padam, saya tak boleh nak dengar lagi. Tapi, kalau saya selalu dengar, ia akan melukakan.
"Biasanya, saya akan dengar bila terlalu rindu dan selepas menunaikan solat," ujarnya.
Terdahulu, Salamiah dan Allahyarham Gerry mendirikan rumah tangga pada 1 September 2022 dalam satu majlis ringkas di Tasmania, Australia.
Ini adalah perkahwinan kedua buat Salamiah manakala Allahyarham Gerry berstatus duda kepada tiga cahaya mata.
Sebelum ini, Salamiah pernah berkahwin dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz sebelum berpisah pada 1986.
Bekas suami meninggal dunia pada 28 Julai 2022 akibat sakit jantung dan parkinson.
Hasil perkahwinan, pasangan dikurniakan dua cahaya mata, Raja Putri Atilia, 51, dan Raja Ahmad Shah, 46.