Vokalis baharu kumpulan Samudera, Norazmi Mohd Abdullah, 48, meninggal dunia akibat COVID-19, malam tadi.

Ketua kumpulan Samudera, Mohd Azhar Ropei, memberitahu, Norazmi atau mesra disapa Aimi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh, pada jam 10.12 malam.

"Selepas disahkan positif COVID-19, arwah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

"Arwah meminta dibawa ke sana kerana tidak mahu keluarga menanggung risiko kerana arwah ada anak yang masih kecil.

"Bagaimanapun, Ahad lalu, arwah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana keadaan kesihatannya semakin merosot. Berikutan paras oksigen menurun, arwah terpaksa ditiarapkan.

"Saya dapat panggilan daripada ibu arwah yang memaklumkan Aimi sudah meninggal dunia pada jam 10.12 malam," katanya kepada BH Online.

Allahyarham Norazmi adalah vokalis kumpulan Samudera menggantikan penyanyi asal, Sarfen Husin atau Ujang yang meninggal dunia, empat tahun lalu.

Mohd Azhar atau Aai memberitahu arwah sepatutnya merakamkan single baharu, namun, terbantut selepas disahkan positif COVID-19.

"Arwah menyertai kumpulan kami pada 2018. Arwah baik, komited dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada ahli kumpulan lain.

"Sepatutnya, arwah merakamkan lagu baharu untuk Samudera. Lagu sudah disiapkan, tunggu hendak memasukkan vokal sahaja.

"Hendak buat macam mana, Allah lebih menyayangi dirinya. Kami reda dengan apa yang berlaku," katanya yang juga bermain dram untuk kumpulan itu.

Berita pemergian Norazmi itu turut dikongsi di akaun Facebook (FB) rasmi kumpulan itu, Samudera Fans Club. Kumpulan Samudera popular dengan lagu Salam Sejahtera.

Sumber: BH Online