Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Vokalis Bon Jovi Pujuk Wanita Usah Teruskan Niat Terjun Jambatan

Awani
13/09/2024 00:20 MYT
Bintang rock antarabangsa, Jon Bon Jovi menerima pujian pihak berkuasa apabila berjaya membantu menyelamatkan nyawa seorang wanita di Nashville, Selasa lalu.

Bantu selamatkan nyawa wanita


Jabatan Polis Metropolitan Nashville berkongsi video yang memaparkan vokalis Bon Jovi itu menghampiri wanita tersebut yang dilihat dalam keadaan sedih, dan berdiri di tebing luar jambatan yang merentasi Sungai Cumberland.

Dalam video berdurasi 52 saat itu, Jon atau nama sebenarnya, John Francis Bongiovi Jr, 62, bersama seorang individu lain, dipercayai pembantu produksinya, berbual dengan wanita itu sebelum membantunya kembali ke bahagian dalam susur jambatan.

"Kita semua bertanggungjawab untuk membantu memastikan satu sama lain selamat," kata Ketua Polis Nashville, John Drake dalam satu kenyataan ringkas.


Menurut sumber, Bon Jovi sedang menjalani penggambaran video muzik di jambatan tersebut ketika kejadian.
Jabatan Bomba Nashville dan Jabatan Polis Nashville bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan, dengan Drake memuji tindakan pantas dan berani penyanyi itu.

Sejurus insiden itu didedah oleh media, selebriti berkenaan menerima kata-kata penghargaan daripada peminat, pengguna media sosial dan juga pihak berkuasa tempatan.

Pihak Bon Jovi bagaimanapun belum memberi sebarang komen berhubung perkara itu.

Sumber: AWANI
#Hollywood #Vokalis #Bon Jovi #Pujuk #Terjun Jambatan