Konsert Exists Reunion dijangka tetap akan berlangsung walaupun vokalisnya, Mamat ditahan polis malam tadi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Shiraz Projects selaku pihak penganjur, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan pihak mereka akan menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa.

“Seluruh anggota Exists Reunion amat terkejut dengan berita penangkapan itu.

“Ketika ini, apa yang dapat saya katakan ialah, pihak kami masih menunggu perkembangan mutakhir berhubung dengan kejadian itu.



“Secara peribadi, berita ini amat menyedihkan dan mengejutkan lebih-lebih lagi menjelang konsert Reunion Exists yang akan berlangsung pada 28 September ini di Shah Alam dan 5 Oktober di Singapura,” kata penganjur menerusi satu kenyataan.

Mereka akui telah menerima banyak mesej dan panggilan daripada peminat yang bertanyakan status konsert yang sudah dirancang itu.

Pihak penganjur juga akan berkongsi perkembangan terbaru mengenai konsert itu dari semasa ke semasa.

“Sememangnya kami di Exists Reunion mahukan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Ini satu ujian awal untuk kami dan berharap para peminat akan terus mendoakan yg terbaik untuk Exists Reunion,” ujarnya lagi.

Menerusi laporan Harian Metro, Mamat dan seorang rakan lelaki ditahan di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling, Johor Bahru berikutan penemuan serbuk putih disyaki dadah jenis syabu dalam dompet penyanyi berkenaan.

Baca: Bekas Vokalis Kumpulan Popular Ditahan Polis Miliki Dadah

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.