Tempatan

Volvo XC90 Generasi Baharu Dilengkapi Dengan LiDAR

gempak
Erywan
08/07/2021
04:19 MYT
Sponsor Banner
Volvo XC90 Generasi Baharu Dilengkapi Dengan LiDAR
Kita sudah sedia maklum bahawa jenama Volvo sememangnya sinonim dengan keselamatan. Bermula dengan penghasilan tali pinggang keledar tiga poin pada 1959, Volvo kemudiannya mengambil langkah penuh kontroversi dengan mengehadkan kelajuan maksimum kepada 180km/j pada semua kenderaanya bermula tahun lalu.
Dalam perkembangan terbaru, pengeluar dari Sweden itu telah mengumumkan bahawa model pengganti XC90 akan didatangkan standard dengan teknologi LiDAR (Light Detection and Ranging) yang dibangunkan dengan kerjasama Luminar, serta komputer pemanduan autonomi yang dikuasakan oleh sistem Nvidia Drive Orin.
Menurut Volvo, XC90 generasi baharu itu akan tampil dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya dan akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun hadapan. Dengan gabungan kedua-dua teknologi berkenaan dalam satu pakej keselamatan, syarikat itu mensasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan juga kematian.
Apa yang menarik, Volvo mendakwa kemaskini perisian melalui udara (Over-the-Air) boleh menjadikan teknologi ini lebih ‘matang’ dari masa ke masa, dengan kemampuan untuk membantu pemandu dalam situasi yang kritikal.
Tidak seperti teknologi sedia yang memberikan amaran berbentuk audio dan visual kepada pemandu, teknologi baharu ini mampu untuk mengambil alih kawalan kenderaan bagi mengelakkan berlakunya perlanggaran.
Model itu juga akan didatangkan dengan sistem sandaran untuk fungsi-fungsi penting dalam kenderaan seperti stereng dan brek. Ini bagi menjadikannya serasi dengan sistem pemanduan autonomi yang dibangunkan oleh Volvo iaitu Highway Pilot apabila ciri itu tersedia kelak.
Sementara itu, maklumat mengenai trenkuasa elektrik XC90 masih belum didedahkan namun SUV flagship itu dijangka menggunakan nama ‘Recharge’ seperti model-model elektrik sedia ada seperti XC40 Recharge dan C40 Recharge.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024