Berita
"Wabak Fitnah Ni Makin Duduk Rumah Makin Menjadi-Jadi" - Alha Alfa Bersuara, Nafi Ada Kaitan Kisah Rumah Tangga
Usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa meluahkan rasa bimbangnya dengan kehidupan masyarakat hari ini apabila dengan mudah menyebarkan fitnah.
Lebih merisaukan, kata Alha, fitnah pada hari ini tersebar dengan cukup cepat seolah-olah sukar dikawal dengan adanya perkembangan teknologi.
"Zaman yang sangat menakutkan, zaman fitnah akhir zaman. Bukan wabak Covid-19 ni sahaja yang merbahaya, wabak Covid-19 bila duduk rumah insya-Allah tak akan merebak, tapi wabak fitnah ni makin duduk rumah, makin menjadi-jadi.
"Zaman dulu ya, berdiam lebih bagus sebab zaman itu zaman kekurangan teknologi. Memang mengadu pada Allah dan sabar itu tuntutan, tapi dalam kehidupan sekarang, bila kita sabar atas fitnah berleluasa akan buat kehidupan kita mati dalam diam. Lebih sakit sebab tak ada ruang untuk bercakap benar," kongsinya menerusi satu entri di Instagram TV miliknya.
Katanya lagi, jika tidak dibendung, secara tidak langsung ia akan memberi kesan buruk terhadap individu yang difitnah.
"Perkara ni serius kawan-kawan. Ada orang difitnah sampai pyscho hingga bunuh diri. da orang sampai gila dan semua ini berlaku sebab apa? Sebab semudahnya kita mempercayai sesuatu benda tanpa selidik.
"Zaman orang nak cakap benar, dikatakan menegakkan benang yang basah, bila bersuara dikatakan 'kecut.. dah salah nak bising-bising', siapa kita nak mengadili," ujarnya.
Perkongsian Alha itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata bersetuju dengan apa yang diperkatakannya itu. Bahkan, ada juga yang cuba mengaitkan perkongsiannya itu seolah-olah menggambarkan apa yang sedang dilaluinya kini.
Bagaimanapun, kata Alha apa yang dikongsikannya itu tidak mempunyai kaitan dengan kisah perceraian rumah tangganya.
"Saya bukanlah meroyan, tapi saja nak ajak borak sambil minum-minum petang.
"Tak ada kena mengena dengan kisah perkahwinan saya atau sesiapa ya. Jadi, jangan nak api-apikan pula #lifemustgoon," tegasnya.
Sebelum ini Alha mendedahkan bahawa hubungan rumah tangganya bersama Noor Azlin Ismail hanya bertahan selama enam bulan sebelum mereka berpisah secara baik.
Kisah rumah tangga itu kemudian menerima perhatian masyarakat sehingga timbul pelbagai spekulasi mengenai punca perpisahan mereka.
Apapun, jangan lupa saksikan program yang pernah menampilkan Alha Alfa di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.