Berita
Wah! Hebatnya Barisan Pelakon Filem The Garden Of Evening Mists, Semuanya Bertaraf Antarabangsa!
Barisan pelakon yang membintangi sesebuah filem sememangnya memainkan peranan penting. Ini kerana, ia menjadi salah satu faktor untuk menarik penonton ke pawagam.
Maka, tidak hairanlah, ada antara penerbit lebih cenderung untuk menggunakan nama-nama besar bagi menjayakan sesebuah karyayang mereka mahu hasilkan.
Begitu juga dengan pendekatan yang digunakan dalam naskhah tempatan terbaharu, filem The Garden Of Evening Mists (TGOEM) yang bakal menemui penonton pada 16 Januari ini.
Filem terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu menampilkan barisan pelakon daripada beberapa buah negara antaranya Malaysia, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.
Melihat kepada latar belakang kesemua pendukung filem itu, kesemua mereka terdiri daripada pelakon berpengalaman yang pernah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Jom, kita tengok senarai pelakon utama yang membintangi filem menerima pelbagai pengiktirafan termasuklah Anugerah Golden Horse ke-56 di Taiwan baru-baru ini.
#Sinje Lee
Pelakon Sinje Lee sudah mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak usianya tujuh tahun lagi. Anak kelahiran Kedah ini, kemudian mula mencipta namanya di Taiwan dan Hong Kong.
Menariknya, pelakon berusia 44 tahun ini pernah diangkat sebagai Artis Baru Terbaik di Festival Filem Berlin pada 2001 menerusi wataknya dalam filem Betelnut Beauty.
Antara karya yang mengangkat namanya, termasuklah filem The Eye (2002), Recycle (2006) dan Missing (2008).
#Hiroshi Abe
Pelakon kelahiran Jepun ini memulakan kerjayanya sebagai seorang model terlebih dulu. Bagaimanapun, dia kemudian mencuba nasib dalam bidang lakonan.
Antara karya yang mengangkat namanya termasuklah filem Godzilla (2000), Millenium (2000), Thermae Romae (2012) dan After The Storm (2016).
Berusia 56 tahun, sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan sejak 1983, Hiroshi pernah memenangi banyak anugerah yang mengangkat namanya sebagai Pelakon Terbaik termasuklah di Anugerah Akademi Japan, Anugerah Blue Ribbon, Festival Filem Yokohama dan Anugerah Filem Mainichi.
#Slyvia Chang
Selain berlakon, Sylvia Chang juga merupakan seorang pengarah, penulis skrip dan penerbit yang sudah terlibat selama 40 tahun dalam industri hiburan di Taiwan dan Hong Kong.
Sepanjang tempoh itu juga, pelakon kelahiran Taiwan ini sudah membintangi lebih 100 filem.
Pelakon berusia 67 tahun ini dikenali dengan hasil kerjanya menerusi filem 20:30:40 (2004) yang tersenarai di Festival Filem Antarabangsa Berlin dan filem Murmur of The Hearts di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-39 pada 2015.
#John Hannah
John Hannah merupakan pelakon kelahiran Scotland. Dia dikenali dengan karyanya dalam filem Four Weddings And A Funeral (1994) dan The Mummy (2001) adn Sliding Doors (1998).
Berusia 58 tahun, Hannah mula berkecimpung dalam industri hiburan sejak 1987.
Bapa kepada dua anak ini juga pernah tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA).
#Serene Lim
Serene Lim merupakan pelakon kelahiran Slim River, Perak. Bagaimanapun, anak tempatan ini membina kariernya dalam dunia lakonan di Hong Kong.
Berusia 23 tahun, Serene kini merupakan artis yang mengikat kontrak bersama TVB Hong Kong.
Kerjaya awal Serene dalam dunia seni bermula selepas dia memenangi Miss Astro Chinese International pada 2016.
Antara karya yang mengangkat namanya ialah filem Think Big Big pada 2018.
TGOEM merupakan sebuah karya adaptasi novel yang menceritakan kesengsaraan kehidupan Teoh Yun Ling (lakonan Sinje Lee) akibat kekejaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang cuba mencari ketenangan di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, sewaktu di sana, ketika dia berusaha untuk membina sebuah taman bagi menzahirkan penghormatan kepada adik perempuannya yang terkorban, dia menjalin hubungan cinta terlarang bersama seorang tukang kebun bernama Nakamura Aritomo (lakonan Hiroshi Abe).
Must-Watch Video