Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa teruja apabila wajahnya terpapar di salah satu papan iklan digital gergasi (billboard) di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Rossa berkongsi kegembiraannya itu di akaun Instagram miliknya.

“Yes that's your girl on the giant billboard! I'm your Spotify Equal Artist,” tulisnya dalam kapsyen.

Menerusi entri yang sama Rossa memuat naik video dan foto saat wajahnya menghiasi papan iklan tersebut.

Selain Rossa turut kelihatan adalah selebriti antarabangsa lain iaitu Billie Eilish dan seorang lagi bintang Hong Kong iaitu Sammi Cheng.

Pelantun lagu Terlalu Cinta itu dan dua penyanyi itu dipilih untuk menghiasi papan iklan tersebut bersempena kempen Equal yang dianjurkan oleh platform penstriman muzik Spotify.

Kemas kini Rossa itu turut mendapat perhatian peminat serta pengikut laman sosialnya yang turut berbangga dan mengucapkan tahniah.

“Wah tahniah, bangga sangat!” komen salah seorang pengikutnya.

“Menakjubkan,” puji salah seorang warga maya.

Untuk rekod, selain Rossa sebelum ini selebriti tempatan Yuna dan penyanyi baharu Layla Sania pernah menghiasi billboard yang sama.


A post shared by Rossa (@itsrossa910)