Berita
Wajah Anak Bawah Umur Perlu Dilindungi
Isu wartawan melontarkan soalan terhadap anak bawah umur 18 tahun dalam kancah rumah tangga Zahnita Dorothy Hussien Wilson dan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Apa tidaknya, ada yang menyokong tindakan anak sulung bekas peragawati yang berusia 39 tahun itu dan ada juga mengecam tindakan tersebut.
Lebih teruk apabila wajah remaja itu tersebar ke seluruh medium media sosial.
Hakikatnya identiti kanak-kanak bawah umur termasuk remaja belasan tahun, apatah lagi gambar mereka, tidak boleh disebarkan ke mana-mana medium media.
Sebarang kes mahkamah, sekiranya melibatkan mangsa mahupun tertuduh sendiri sebagai tertuduh, sekiranya mereka merupakan anak bawah umur, kita wajar mengelak daripada menyebarkan wajah mereka.
Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan kes di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika dilihat menerusi Akta Kanak-Kanak 2001 pula, ia dengan jelas menunjukkan bahawa, sebarang bentuk penderaan, pengabaian atau gangguan meskipun dalam bentuk yang dianggap tidak berbahaya, boleh menjadi satu kesalahan serius.
Gambar dan visual kanak-kanak dikongsi di media sosial, tanpa disedari telah melanggar hak privasi mereka.
Lihat sahaja kepada seorang pemandu bas yang ditahan selepas memuat naik rakaman video penumpangnya yang merupakan murid sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau crush pada 5 September tahun lalu.
Dia yang dikenali sebagai ‘Aban Ba’ kemudiannya didakwa Mahkamah Sesyen Batu Pahat, atas satu pertuduhan memuat naik komen jelik berhubung video seorang kanak-kanak perempuan.
Lelaki berumur 24 tahun itu didakwa membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen 'hari ini crush buat homework' diikut tanda 'love' sambil memerhatinya.
Menjadi hak ibu bapa untuk berkongsi memori bersama anak-anak namun perlu diingat, kita sebagai 'orang luar' tidak wajar untuk merampas privasi itu.
Ramai artis tanah air yang memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak-anak ketika masih di peringkat bayi.
Tidak perlu rasa rimas dengan tindakan segelintir selebriti yang berkongsi gambar bayi mereka tetapi tidak mendedahkan wajah sepenuhnya.
Sedarlah hakikat bahawa kita hanya ‘orang luar’ dan sekadar menjadi peminat dalam kehidupan mereka.
Pelakon, Datin Lisa Surihani juga pernah berpendirian sedemikian apabila bercadang tidak mahu mendedahkan wajah anak yang baru dilahirkan.
Begitu juga dengan pelakon, Datin Elvina Mohamad yang memilih untuk mengurangkan perkongsian mengenai keluarga di media sosial bagi mengelak penyakit ain.
Paling mencuri perhatian ialah selebriti dan usahawan, Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, terkilan dengan tindakan individu yang menceroboh privasi keluarga, apabila menyebarkan wajah anaknya, Muhammad Bilal dalam laman sosial tanpa izin.
Susulan itu, semua pihak termasuk petugas media perlu peka agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan wajah kanak-kanak.
Perkara sama pernah diutarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said apabila beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menerbitkan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.
Ini kerana katanya, tindakan itu boleh membawa kepada pertuduhan jenayah di mahkamah.
Salah satu langkah yang baik ialah membabitkan Kementerian Komunikasi, apabila merancang untuk mewujudkan satu garis panduan merakam foto, video atau kandungan berkaitan kanak-kanak bawah umur sebagai rujukan awam.
Ia dalam usaha membendung penyalahgunaan imej kanak-kanak daripada dimanipulasi pihak lain.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga pernah mengingatkan golongan pendidik di institusi pendidikan agar mematuhi undang-undang termasuk tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial yang melibatkan kanak-kanak.
Beliau turut memohon, mereka yang menghasilkan kandungan termasuklah guru, agar tidak memapar, pamer, rakam dan menyiarkan wajah kanak-kanak di bawah tanggung jawab didikan mereka.
Ini kerana, ia merupakan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kanak-kanak.
Sumber - Sinar harian *Noor Azlida Alimin ialah Wartawan Sinar Harian Meja Jenayah & Mahkamah