Penerbit A Aida Production, Datuk A Aida memberikan peluang kepada beberapa bintang kelahiran Hero Remaja 2017 dan 2020 untuk tampil dalam drama terbaharu terbitannya, Ustazah Biker yang kini dalam penggambaran.

Antara bakat muda yang hadir dalam sesi ujibakat dan terpilih membintangi drama arahan Lizam Togil itu termasuk juara Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin yang mendukung watak utama dalam drama berkenaan sebagai Danny.

Tiga muka baharu lain ialah finalis Hero Remaja 2020 iaitu Azim Yusof, Haziq Nazimuddin dan Umar Hisham.

"Rata-rata yang terpilih masih lagi 'hijau' dalam selok-belok dunia lakonan. Namun, saya ingin beri mereka peluang untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini.

"Masing-masing mempunyai pakej yang lengkap sebagai pelakon. Saya enggan menyekat minat dan tidak mahu mereka dilupakan selepas program terbabit tamat.

"Siapa tahu drama ini membuka jalan yang lebih luas buat mereka untuk terus terbang lebih jauh dalam bidang lakonan," katanya.

Mereka terdahulu melalui uji bakat yang dijalankan minggu lalu, sekali gus ditawarkan peranan bersesuaian dengan pengalaman masing-masing.

Menurut A Aida lagi, dia mengakui industri seni perlukan pelapis muda kerana kebanyakan pelakon lelaki dan wanita yang sedia ada sudah berkahwin.

"Industri seni perlukan bakat baharu yang lebih muda untuk menghiasi kaca TV. Ditambah, kalau dilihat kebanyakan stesen televisyen menggunakan wajah pelakon sama.

"Malah rata-rata pelakon utama yang ada sekarang sudah berkahwin dan mempunyai pendirian tertentu seperti tidak mahu melakukan beberapa adegan yang patut dilakukan dalam drama," katanya.

Ustazah Biker yang turut menampilkan Hazman, Chacha Maembong, Watie Sadali dan Rosnah Johari itu bakal menemui penonton tidak lama lagi di saluran Salam HD.