VIRAL
"Wajah Saya Tak Akan Sama Lagi" – Wanita Derita Bibir Bengkak Lepas Suntik Filler
Seorang wanita di Bangkok berkongsi pengalaman pahit apabila prosedur suntikan kosmetik jenis filler menyebabkan bibirnya membengkak teruk serta mengalami kesakitan luar biasa sehingga terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan.
Wanita berkenaan, Kittiya Menaruji berkata, reaksi alahan yang dialaminya berlaku selepas sesi suntikan kedua dan berharap kisahnya menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menjalani prosedur kecantikan.
Menurutnya, pada sesi pertama, dia menerima suntikan 1 sentimeter padu (cc) filler di bahagian dagu dan hanya mengalami sedikit bengkak yang dianggap normal.
Bagaimanapun, semasa sesi kedua, dia menerima jumlah suntikan yang lebih besar iaitu 4cc – masing-masing 1cc di dagu, 2cc di bahagian lipatan nasolabial (antara hidung dan mulut) serta 1cc di bibir.
“Ketika itulah reaksi alahan mula berlaku.
“Saya mula rasa bibir membengkak dengan cepat, berasa panas dan amat menyakitkan sehingga saya terpaksa mendapatkan rawatan segera termasuk pengambilan antibiotik serta prosedur khas untuk meleraikan filler yang disuntik,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kittiya turut berkongsi gambar wajahnya ketika bengkak dan keadaannya kini selepas semua filler dibuang.
Menurutnya, proses pemulihan mengambil masa seminggu untuk bengkak surut, manakala dua minggu lagi untuk wajahnya kembali seperti biasa.
“Saya rasa wajah saya tak akan pernah sama lagi,” katanya sambil menegaskan beliau tidak menolak penggunaan rawatan estetik sepenuhnya.
Sebaliknya, beliau mahu orang ramai lebih berwaspada dan menjalani ujian alahan terlebih dahulu sebelum memilih sebarang prosedur kosmetik.
“Saya tidak berniat untuk memburukkan rawatan filler, saya cuma ingin berkongsi pengalaman agar orang lain tidak lalui apa yang saya lalui,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video