Wakili Malaysia, Jaa Suzuran Bersaing Dengan 9 Selebriti Media Sosial Berpengaruh Asia!

Kamaruddin Razal
Disember 31, 2018 20:21 MYT
Penyampai radio ERA dan selebriti media sosial terkenal, Jaa Suzuran mewakili Malaysia untuk bersaing dengan sembilan influencer lain yang datang dari pelbagai negara Asia.
Menerusi program realiti The Amazing Sunway City Challenge yang diadakan di Sunway City Kuala Lumpur, Jaa bersaing dengan Medyo Maldito (Filipina), RJ Abhinav (India), Michelle Joan (Indonesia), Matthew Stewart (Singapura), Ironbull (Taiwan), SorDor Style (Thailand), Gong Yi (China), Hong Young Gee (Korea Selatan) dan Hadia Ghalebhave (Mesir).
Mereka yang memiliki seramai 25 juta pengikut secara keseluruhan bertarung di sekitar lokasi utama di Sunway City untuk memenangi gelaran juara The Amazing Sunway City Challenge, mata Sunway Pals bernilai RM25,000 dan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Note9.
"Penonton akan dapat meneroka tarikan yang tersedia menerusi video dan perutusan media sosial. Mereka juga akan terhibur dengan gelagat influencer yang sedang bertarung.
"Penonton juga boleh menyertai peraduan yang akan dilancarkan di dalam empat episod web program ini yang bakal besiaran.
"Sejajar dengan kehidupan hari ini yang tersambung secara dalam talian, pengguna media sosial dapat melangkaui sempadan yang membolehkan kita mendekatkan lagi dunia," kata HC Chan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kompleks Beli-Belah & Taman Tema Sunway.
Mereka terpaksa mengharungi aktiviti-aktiviti mencabar termasuk merasai pengalaman mencuba Vuvuzela (gelongsong air terbesar dunia di Sunway Lagoon), bertarung di gelanggang ski ais Sunway Pyramid serta banyak lagi tarikan yang disediakan!
Empat episod web program ini akan ditayangkan pada Februari ini menerusi beberapa platform rasmi, termasuklah platform rasmi media sosial Sunway City dan WebTVAsia.
#Jaa Suzuran