“Waktu PKP Ni Banyak Siar Program Lama, Buat Saya Rindu” - Jihan Muse Terkenang Perjuangan Menyertai Raja Lawak

Azwa Rahman
April 10, 2020 06:19 MYT
Pengacara dan pelawak Jihan Muse mengimbau kenangan sewaktu mula-mula menyertai program Raja Lawak pada tahun 2009.
Menerusi laman sosial Instagram, Jihan berkongsi sekeping foto ketika mengacarakan program yang begitu sinonim dengannya iaitu Gegar Vaganza bagi tatapan umum.
“Waktu PKP ni banyak ulangan program-program lama buat saya rindu. Terkenang masa masuk Raja Lawak, itu la permulaan saya dalam bidang seni.
“Pelbagai cabaran untuk menjadi pelawak yang biasanya didominasi oleh kaum lelaki. Banyak saya belajar dari pengalaman dan kawan-kawan yang berpengalaman,” tulis Jihan di ruangan kapsyen.
Pada program Raja Lawak musim ketiga, Jihan terpaksa akur kepada kumpulan Sepah yang menjadi juara ketika itu.
Selepas Raja Lawak, nama Jihan semakin terkenal apabila dia menyertai program Maharaja Lawak 2011, segmen Parodi MeleTOP serta mengacarakan rancangan Gegar Vaganza.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang memberikan sokongan terhadap kerjaya Jihan sejak awal pembabitannya hingga sekarang.
“Saya minat Jihan dari Raja Lawak lagi. Serius best lawaknya,” puji seorang wargamaya.
“Suka tengok Jihan dalam Gegar Vaganza musim kedua yang tengah tayang kat Astro sekarang,” komen seorang wargamaya.
“Saya ada satu je perkataan untuk Jihan: respect!” ujar seorang wargamaya.
“Saya suka Jihan start dari cerita Biniku Ninja. Best gila,” kata seorang wargamaya lagi.
Imbas kembali, Jihan mula bertapak dalam industri hiburan tanahair apabila bergelar naib juara program Raja Lawak musim ketiga.
#Jihan Muse #Gegar Vaganza #Raja Lawak