Laman Utama
"Walau Apa Jadi Sekali Pun, Raya Nanti Saya Akan Jumpa Abang" - Syafiq Yusof
Pengarah dan adik kepada pelakon Syamsul Yusof, Syafiq Yusof merancang untuk menziarahi rumah abangnya seperti sediakala sempena kedatangan Syawal minggu hadapan.
Jelas Syafiq, dia juga berharap dapat meraikan Aidilfitri tahun ini bersama-sama seluruh ahli keluarganya dan menyisihkan segala sengketa yang ada.
"Selalunya pada pagi raya kami sekeluarga akan beraya bersama-sama. Tahun ini, walau apa jadi sekali pun hari raya nanti saya akan berjumpa dia (Syamsul), saya akan beraya bersamanya.
"Saya harap keluarga saya kembali macam sediakala, baik-baik. Tak ada manusia yang sempurna. Harap-harap hari raya nanti bermaaf-maafan," katanya kepada Gempak.
Syafiq yang ditemui pada majlis pelancaran filem Polis Evo 3 di Six in the City, Petaling Jaya baru-baru ini mengakui masih berhubung dengan Syamsul malah ada memberikan kata-kata semangat kepadanya.
"Saya ada berhubung dengan dia, berikan kata-kata semangat sebab saya tak pernah nampak lagi orang yang kena seteruk dia.
"Saya selalu mintanya bersabar. Hanya kerana seorang manusia itu bergelar artis, popular dan berjaya bila ada kesilapan sikit yang sebenarnya ramai orang buat, tapi diserang depan belakang.
"Saya terkejut sebenarnya kenapa jadi macam ni. Mungkin ini ujian dia, tapi saya percaya dia seorang yang kuat dan boleh mengharungi situasi," tambahnya.
Malah, Syafiq berharap kemelut dalam keluarganya akan diselesaikan secara harmoni dan matang.
"Saya tengok abang saya sekarang ni syukur Alhamdulillah, segalanya hampir selesai. Sebelum ini saya kasihan tengok dia, dia diserang daripada setiap penjuru, semua orang attack dia!
"Kalau kedua-duanya (Syamsul dan Puteri Sarah) sudah bersetuju (untuk bercerai) mungkin itulah paling baik. Kalau perkara itu meleraikan semua keadaan saya rasa Alhamdulillah. Doakan yang baik-baik," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Syafiq yang kini sedang sibuk di set penggambaran filem Syerif bakal muncul dengan filem Polis Evo 3 yang meletakkannya di kerusi pengarah pada 25 Mei 2023.