HIBURAN

Walau Uzur, Mat Sentul Masih Ceria Hiburkan Tetamu - “Anaknya Tak Bekerja Kerana Jaga Bapa Sepenuh Masa Sejak 2020”

Gempak 17/08/2025 | 12:49 MYT
Usaha membantu keluarga pelawak legenda era 1950-an, Mat Sentul, 92, atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya akan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk membaik pulih rumah yang kini agak uzur.

Beri sumbangan


Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, pihaknya telah menziarahi seniman berkenaan yang tinggal bersama anak lelakinya berusia 63 tahun di Larkin.

"Anaknya tidak bekerja kerana sepenuh masa menjaga bapanya sejak tahun 2020, selepas seniman itu dimasukkan ke hospital akibat disyaki dijangkiti Covid-19 tahap 3.

"Tanggungjawab besar ini dipikul dengan penuh sabar, dibantu oleh tiga adik-beradik lain yang masing-masing telah berkeluarga dan tinggal berasingan dengan sumbangan sekitar RM500 sebulan bagi menampung keperluan asas," katanya.


Khairin-Nisa berkata, anak lelaki Mat Sentul menerima bantuan penjagaan OKU atau pesakit kronik terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan.

Bagaimanapun katanya, kos penjagaan bapanya melebihi RM2,000 sebulan termasuk bagi pembelian lampin pakai buang, ubat dan susu khas.

"JKM Johor akan berusaha mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi membaik pulih rumah yang agak uzur selain berusaha mendapatkan bantuan lampin pakai buang," jelasnya.

Mat Sentul kekal ceria


Tambahnya, walaupun terlantar, Mat Sentul masih kekal ceria.

"Walaupun terlantar, Mat Sentul, seniman negara yang suatu ketika dahulu menghiburkan kita di layar perak, masih kekal ceria.

"Sesekali beliau menghiburkan kami yang hadir dengan nyanyian dan gurauan, mengingatkan semua bahawa semangat positif tidak pernah pudar walaupun diuji kesihatan," ujarnya.


Mat Sentul pernah membintangi beberapa filem antaranya, Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.


Sumber: Sinar Harian
#Mat Sentul #Uzur