Hiburan
“Walaupun Berbeza Bahasa & Budaya, Mereka Tahu Setiap Lagu” – Mark Westlife Terharu Dengan Peminat Malaysia
Anggota kumpulan Westlife, Mark Feehily melahirkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh peminat terhadap konsert mereka di Malaysia.
Mengimbas kembali kenangan sewaktu hadir ke Malaysia pada tahun 2003, Mark berkata walaupun memiliki perbezaan dari segi Bahasa dan budaya namun sokongan yang diberikan oleh peminat di negara ini benar-benar membuatkan Westlife berasa sangat dihargai.
“Saya sering memikirkan tentang sambutan peminat yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami ke Malaysia.
“Cara dan sikap mereka yang melayan Westlife dengan begitu baik membuatkan kami tidak dapat melupakan kenangan sewaktu berada di negara ini.
“Saya teringat sewaktu pertama kali hadir ke Malaysia… Pada ketika itu usia saya lebih kurang 18 atau 19 tahun, sambutan yang diberikan oleh mereka sangat mengagumkan.
“Yang paling membuatkan saya terharu walaupun berbeza bahasa dan budaya, mereka tahu setiap lagu kami.
“Sehinggakan nama haiwan peliharaan ibu dan bapa serta warna kegemaran saya juga mereka tahu! Secara jujurnya memang saya tidak akan lupakan momen manis berkenaan.
“Konsert yang sangat menakjubkan dan persembahan itu benar-benar bermakna buat kami dan peminat.
“Momen-momen ajaib seperti itu muncul setiap kali kami membuat persembahan di atas pentas untuk peminat tersayang,” katanya ketika ditemubual menerusi telefon baru-baru ini.
Terdahulu, Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan, dan Mark Feehily bakal hadir ke negara ini untuk Westlife The Twenty Tour Live in Kuala Lumpur bertempat di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 8 dan 9 Ogos depan.
Malah, lebih 14,700 tiket konsert terjual dalam tempoh 32 jam selepas pra-penjualan tiket dibuka pada 13 April lalu.
Antara lagu hit kumpulan yang popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000 itu termasuklah Flying Without Wings, If I Let You Go, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream dan Swear It Again.
Must-Watch Video