Sempena sambutan ulangtahun ke-25 lagu malar segar Kau Ilhamku, Man Bai kini kembali menterjemah semula lagu itu dalam versi terbaharu yang diberi judul Kau Ilhamku 2020.

Menerusi Kau Ilhamku 2020, lagu ciptaan Asmin Mudin ini diberi nafas baharu dengan terjemahan berbeza daripada rakaman asal.

Menurut Man Bai, secara peribadi lagu itu cukup istimewa buat dirinya.

“Menerusi Kau Ilhamku 2020, saya cuba memberikan penghargaan sewajarnya kepada lagu yang pernah menaikkan semula nama saya pada suatu masa dahulu.

“Dengan memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik yang lebih gah, lagu ini menyajikan sajian muzik yang lebih indah.

“Sesuai dengan maksud lagu ini yang mengangkat taraf seseorang yang menjadi sumber ilhamnya, saya cuba mengangkat taraf lagu ini ke peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap menerusi terjemahan terbaharu menerusi Kau Ilhamku 2020, lagu ini akan kekal relevan sepanjang zaman” katanya.

Mengulas mengenai muzil video rasmi lagu berkenaan, Man Bai berkata dia menggunakan ruang ini untuk memberikan penghormatannya kepada seniman dan seniwati tempatan dan antarabangsa yang bukan sahaja pernah mewarnai dunia seni malah memberi impak kepada dirnya.

“Saya dedikasi lagu ini buat semua anak seni yang pernah membina dan mewarnai dunia seni dengan karya agung mereka.

“Walaupun sudah tiada, mereka masih dan akan terus menjadi sumber ilham kepada penggiat dan peminat seni muzik,” jelasnya

Kau Ilhamku 2020 diberikan susunan muzik segar oleh Man Bai bersama penerbit, komposer dan penyusun muzik terkenal Mac Chew.

Untuk info:

Ini bukanlah kali pertama Man Bai merakam semula lagu ikonik ini, pada tahun 2011 Man Bai pernah menghasilkan versi lain lagu itu menerusi Kau Ilhamku 2011.

Namun begitu, Kau Ilhamku 2020 menjanjikan sajian muzik yang lebih indah.

Jika sebelum ini, susunan muzik dalam versi rakaman asal pada tahun 1995 dan rakaman semula pada tahun 2011 lebih berpaksi kepada petikan gitar sebagai bunyi utama, dalam Kau Ilhamku 2020, lagu ini diberikan susunan muzik yang lebih gemilang dengan iringan petikan piano, tiupan seruling dan gesekan biola sekaligus menyerlahkan lagi keindahan melodi lagu ini.

Single terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Video muzik rasmi Kau Ilhamku 2020 juga kini boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.