Hiburan
Walaupun Jari Tak Sempurna, Kulit Mengelupas... Tulisan Jawi Kanak-Kanak Buat Netizen Kagum!
Biarpun menghidap penyakit Epidermolysis Bullosa yang menyebabkan jarinya tidak terbentuk dengan sempurna dan kulitnya mengelupas kemerahan, kanak-kanak ini membuktikan ia bukan penghalang buat dirinya untuk mempelajari tulisan jawi.
Malah, kesungguhan kanak-kanak ini menulis tulisan jawi dengan begitu cantik dan kemas telah mencetuskan rasa sebak dalam kalangan warga maya.
Kisah Muhammad Alif Firdaus dikongsikan menerusi Facebook oleh ibunya, Ruz Dyah.
"Walaupun jari jemari adik tidak sempurna seperti kanak-kanak lain tapi tulisan adik tetap cantik dan kemas.
"Kalah abang dan kakak, tulisan umi pun tak secantik tulisan adik tau. Kalau ikutkan memang susah adik nak menulis disebabkn jari jemari adik yang dah melekat antara satu sama lain tapi adik tetap semangat.
"Semoga adik sentiasa dibawah lindungan Allah," katanya.
Tambah Ruz Dyah, dia juga bangga dengan kekuatan yang Allah berikan kepada anaknya.
"Anugerah yang tak ternilai buat umi dan papa. Semoga tahun baru ini semangat adik bertambah kuat, ceria dan sentiasa tersenyum. Umi papa sayang adik dunia akhirat," tulisnya di Facebook.
Sementara itu menerusi ruang komen, rata-ratanya kagum dan memuji hasil tulisan Muhammad Aliff meskipun dilahirkan dalam serba kekurangan.
Kebanyakan mereka turut mendoakan supaya kanak-kanak ini berjaya di dunia dan akhirat.