Berita
“Walaupun Penuh Dengan Cubaan Fizikal & Mistik, Namun…”- Fazely Yaakob Dedah Isteri Pernah 13 Kali Keguguran
Cef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke- 13 hari ini.
Sempena ulang tahun perkahwinannya dengan Datin Azrene Ahmad itu, Fazley Yaakob mengimbas kembali kenangan saat mereka disatukan.
Fazley mendedahkan rumah tangga mereka ditimpa pelbagai dugaan apabila ada pihak cuba meruntuhkan perkahwinan yang dibina.
“Selamat Ulangtahun perkahwinan yang ke-13
“Buat adik sayang @azrene_ahmad , selamat ulang tahun perkahwinan kita, di mana 7 November 13 tahun yang lalu kita telah pun disatukan.
“Terlalu banyak titisan air mata keperitan dan kepayahan yang menitis di antara kita serta seluruh keluarga kita.
“Insan yang seharusnya mendoakan kekuatan kita, hanya menjadi punca kedukaan kita. Doa insan itu agar kita putus segera, agar kita tak punya cahayamata dan agar Adik dibenci ibu mertua sendiri @rsd.umi , namun Allah Maha Kuasa, 13 tahun kita bertahan,” tulisnya.
Perkara itu dikongsi Fazley di akaun Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian tersebut dia turut memuat naik video ketika di majlis pernikahan mereka.
Lebih buruk lagi, Fazley mendedahkan isterinya pernah 13 kali keguguran.
Pun begitu, Fazley bersyukur kerana selepas pelbagai keperitan dilalui mereka masih teguh dan bahagia bersama.
“Walaupun penuh dengan pelbagai cobaan fizikal dan mistik, namun kita tetap utuh bak pesan arwah Bapak “Perkukuhkan agamamu, kuatkan kasih sayang kalian sepanjang hayat!” Agar segala gangguan tidak akan mampu memecah belahkan kalian sekeluarga.
“Kita masih bersama dan dikurniakan 4 orang cahaya mata walaupun sehingga 13 kali adik keguguran. Hanya Allah yang Maha mengetahui mengapa ianya berlaku.
“Walau cubaan demi cubaan untuk menganggu gugat hubungan adik dengan ibu @rsd.umi , namun kasih sayang ibu pada adik, dan adik terhadap ibu mertua adik tetap utuh dan teguh.
“Doa abang, agar kita kekal tabah sehingga ke akhir hayat. Ya benar, dia tetap mencuba pelbagai cara untuk memisahkan kita, namun yakin lah ALLAH MAHA BERKUASA LAGI ADIL DAN SAKSAMA. Selamat Ulangtahun ke -13 Adik sayang.
“Buat mereka yang berdiri teguh di belakang kami, bagi memastikan pernikahan tetap berlangsung, bersabung nyawa, meredah cacian dan hilang punca rezeki dan kehidupan, terima kasih tak terhingga buat kalian semua. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian semua selama ini.
Ingatlah, benteng dan kekuatan kita ada pada kesungguhan kasih sayang kita sesama keluarga dan tunggak masjid yang kita bina ini adalah keimanan serta solat kita. Love you Adik Sayang! ,” luahnya lagi.
Fazley mendirikan rumah tangga dengan Datin Azrene Ahmad pada 7 November 2007 dan mereka mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah, 11, Ahmad Fieradz Shah, 10, Ahmad Firudz Shah, 8 dan seorang anak perempuan, Alayna Selma, 2.