“Walaupun Saya Ketua Keluarga, Dia Ajar Urus Waktu Solat Dengan Elok” - Dedikasi Ucapan Istimewa, Ajak Shiro Hargai Isteri

Azwa Rahman
Mei 17, 2020 09:58 MYT
Pelawak dan penyampai radio Ajak Shiro melayangkan ucapan penghargaan kepada isterinya, Afifah Amin yang menyambut hari guru semalam.
Menerusi laman sosial Instagram, Ajak atau nama sebenarnya, Mohamad Hanaffi Razak, 34, berkongsi foto berdua bersama satu ucapan hari guru dedikasi khas buat isterinya.
“Walaupun saya adalah ketua keluarga, tapi dia banyak mengajar saya. Mengajar saya tentang berjimat, gigih bekerja, cara menegur anak-anak, urus waktu solat dengan elok, terus berdiri ketika saya jatuh dan erti hidup sebagai seorang suami.
“Tanpa kamu mana mungkin saya belajar semua ni. Paling penting, terima kasih kerana kamu mengajar anak-anak kita walaupun letih selepas mengajar anak-anak murid kamu.
“Selamat hari guru buat isteri saya yang sangat saya cintai. Semoga kamu terus gigih mencurah ilmu kepada anak bangsa,” tulis Ajak menerusi ruangan kapsyen.
Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, ramai yang terharu dengan ucapan Ajak tersebut.
“Betul tu, tulang belakang kita. Ke kiri, ke kiri la kita. Ke kanan, ke kanan la kita. Selamat hari guru,” komen seorang wargamaya.
“Sweetnya ucapaan suami cikgu Pipah,” kata seorang wargamaya.
“Sweet la Ajak ni. Tersentuh hati bila baca caption,” puji seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, foto tersebut telah mendapat hampir 27,000 tanda suka daripada warga Instagram.
Hasil perkongsian hidup Ajak dan Afifah, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamad Jad Thaqif, 10, Mohamad Had Thaqif, 7, dan Nada Soffea, 5.
#Ajak Shiro #Hari Guru #Suami Isteri