Ahli kumpulan Floor 88, Eric Fuzi akui teruja apabila berpeluang menceburi bidang baru dalam pengarahan filem untuk Hutang 2D.

Menurut Eric pengalamannya yang lama dalam bidang lakonan sedikit sebanyak membantunya.

“Saya hanya pengarah bersama Irwan Rauf. Sebelum ini memang dah lama simpan cita-cita untuk menjadi pengarah dan tidak sangka kini ia jadi kenyataan.

“Lebih membanggakan lagi Hutang 2D yang pada mulanya hanya supertele itu telah dinaik taraf menjadi sebuah filem.

“Bagi saya menjadi pengarah bersama Irwan sangat membantu supaya kita masih berada di landasan dan tidak syok sendiri,” katanya kepada Astro Gempak.

Filem yang menampilkan kesemua ahli kumpulan tersebut iaitu Ayie Elham, Eric Fuzi, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah dan Amirul Afeeq itu ditayangkan terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.

Mengulas mengenai cabarannya menggalas tugas sebagai pengarah dan dalam masa yang sama perlu mengarahkan rakan-rakannya yang juga ahli kumpulan Floo 88, Eric beritahu ia tak seteruk yang disangka.

“Sebenarnya tak susah pun mengarahkan mereka. Ahli kumpulan ini nampak je seperti mereka banyak bermain atau tidak matang tapi itu hanya karakter yang kami tunjuk.

“Namun hakikatnya kami seorang bekerja kerasa memberi komitmen sepenuhnya. Malah walaupun saya antara yang termuda, mereka masih menghormati saya serta mudah menerima teguran,” jelasnya lagi.

Hutang 2D mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima).

Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib.

Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.

Saksikan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios ini terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021.