Anggota kumpulan HEART, Azmi Caliph Busker memberitahu setiap pergerakan yang dibuat di pentas Muzikal Lawak Superstar (MLM) adalah dirancang.

Menurut Azmi, segala gerak-gerinya itu termasuklah membawa motosikal adalah dilakukan dengan pengawasan anggota kumpulannya, Ezad Lazim dan Danial Zaini.

“Saya tahu ada komen-komen negatif netizen yang melabelkan kami dengan kata-kata kurang enak seolah-olah kami membuat sesuatu tanpa perancangan.

“Sebenarnya setiap perkara yang kami lakukan di atas pentas itu semuanya sudah dirancang dengan penuh pengawasan demi keselamatan.

“Lagipun saya dah biasa bawa motor pusing-pusing halaman rumah, walaupun tak nampak tapi saya dah selesa dan tahu berapa luas halaman tu. Jadi tak takut pun bila kena bawa motor atas pentas,” jelasnya ketika ditemui Gempak.

BACA: “Berdebar Tengok Bawak Motor Live” – Netizen Cuak, Azmi Caliph Busker Hampir Jatuh Di Pentas Muzikal Lawak Superstar


Mengulas mengenai keserasian, Azmi memberitahu pada mulanya dia berasa rau-ragu untuk bekerjasama dengan Ezad dan Danial.

“Untuk saya memang rasa risau, bukan apa... Kerap terfikir boleh ke mereka nak layan orang seperti saya sebab saya agak berlainan.

“Namun lama-kelamaan saya berasa selesa dan mereka banyak membantu selain banyak memberikan panduan kepada saya.

“Saya bila berjalan memang perlu dipimpin namun mereka tidak pernah abaikan saya sebaliknya terus membantu,” ujarnya.

Terdahulu, HEART menduduki tempat pertama dengan peratusan markah sebanyak 46.75% untuk minggu ketiga.

Selain itu, Heart juga telah dipilih sebagai penerima Superstar of The Week.

MLS bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:

1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar

2.Taip MLSNAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20)NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.

Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.gempak.com/muzikallawaksuperstar.