Laman Utama

Wali Band Kagumi Floor 88, Pilih 20 Mei Ini Untuk Satu Pentas

gempak
Maliah Surip
12/05/2023
05:21 MYT
Sponsor Banner
Wali Band Kagumi Floor 88, Pilih 20 Mei Ini Untuk Satu Pentas
Menempuh perjalanan panjang untuk mencipta legasi tersendiri, kumpulan popular Indonesia yang utuh memperjuangkan muzik Pop Melayu, Wali Band berharap usaha yang dilakar mereka akan diteruskan pemuzik muda.
Bagi kumpulan yang dibarisi Farhan Zainal Muttaqin atau Faank (vokalis), Aan Kurnia (Apoy/gitaris), Hamzah Shopi (Ovie/keyboard) dan Ihsan Bustomi (Tomi/dram), muzik pop Melayu perlu terus dilestarikan kerana ia melambangkan identiti muzik rumpun Nusantara.
"Usaha ini perlu dilestarikan supaya muzik Pop Melayu terus hidup dan subur di rumpun ini. Kami berharap legasi muzik Wali Band akan diteruskan pemuzik muda," kata gitarisnya, Apoy.
Wali Band yang bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei ini dalam rangka Dream Festival Collaboration Vol. 2 bersama kumpulan popular Malaysia, Floor 88 bagaimanapun, optimis dengan masa depan muzik Pop Melayu.
Buktinya kata Apoy, kemunculan band seperti Floor 88 yang menyelitkan elemen Melayu dalam lagu mereka, malah turut viral di Indonesia memperlihatkan keampuhan genre muzik itu untuk terus bersaing dengan genre hebat lain.
"Floor 88 telah membuktikannya apabila karya mereka melangkaui sempadan. Mereka adalah antara band dari Malaysia yang bagus, malah lagu mereka juga diterima dengan baik peminat di Indonesia.
"Justeru, menerusi kerjasama dalam Dream Festival Collaboration Vol. 2 - Wali Band dan Floor 88, kami berharap usaha ini akan dapat membesarkan lagi pengaruh muzik pop Melayu di rumpun ini.
"Kami bangga dengan muzik yang dibawakan Floor 88 yang sangat kental elemen Melayu. Antara lagu mereka yang sangat kami suka adalah Hutang (Pok Amai Amai)," katanya.
Mengulas kemunculan di pentas Zepp KL, Apoy berkata, selepas lebih lima tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur, mereka berharap Dream Festival Collaboration Vol. 2 - Wali Band dan Floor 88 bakal mengubat kerinduan peminat yang sentiasa merindui aksi mereka.
"Sudah lama kami tidak membuat persembahan di festival besar seperti ini di Kuala Lumpur. Lebih bermakna, kami akan bergandingan dengan Floor 88 yang pada kami, memiliki karisma tersendiri di pentas.
"Kami akan memberikan yang terbaik, selain menampilkan kejutan untuk memastikan semua yang hadir pulang dengan kepuasan maksimum.
"Sudah tentu akan ada beberapa pembaharuan, terutama dari sudut susunan muzik. Sesuatu yang pasti, lagu yang bakal dipersembahkan nanti adalah lagu hits pilihan peminat," katanya.
Mengambil masa sebulan untuk menentukan senarai lagu yang bakal dinyanyikan, Apoy berkata, Wali Band sangat mementingkan persediaan fizikal dan mental demi memastikan mereka tampil maksimum pada konsert itu nanti.
"Dalam sela latihan, kami akan luangkan juga masa untuk bersukan bagi mendapatkan stamina. Selain bola sepak, kami juga bermain ping pong kerana kami perlu sentiasa bertenaga apabila beraksi kelak.
"Kami berbangga dapat kembali beraksi di Kuala Lumpur dan pastinya, festival ini menjadi antara persembahan luar biasa untuk kami kenang sepanjang tahun ini," katanya.
Tiket untuk menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 2 - Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) boleh diperoleh menerusi laman: ticket2u.com.my.
Bagi ahli Dreamers Club Telegram, harga istimewa ditawarkan bagi sepasang tiket iaitu RM300 (Festival) menerusi Couple Package.
Layari laman Instagram: @dreamfestworld dan ikuti beberapa langkah untuk mendaftar sebagai ahli kelab Dreamers bagi mendapatkan pelbagai promosi menarik serta perkembangan terkini acara anjuran DreamFest di Malaysia serta Indonesia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live