Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Wan Maimunah Sebak – “Tak Sangka Masih Ada Yang Sudi Tengok Ibu…”

Fiza Kamarudin
02/09/2020 07:30 MYT
Pelakon Wan Maimunah gagal menahan sebak ketika menghadiri majlis pelancaran filem televisyen FTV, Frontliner baru-baru ini.

Wan Maimunah atau lebih mesra disapa Ibu itu memohon maaf atas kelewatannya serta menyatakan sebab terlewat ke majlis tersebut.

“Ibu mohon maaf kerana lewat, ibu tak ada transport. Diaorang cuba call Grab, tapi tak ada sebab ibu duduk di ‘hulu-hulu’ sana.

“Allah sebaik-baik perancang. Ibu betul-betul kerana tak sangka sambutan untuk Ibu sampai macam ni sekali,” katanya sebak melihat tetamu yang hadir.

Seniwati air mata itu turut berkongsi rasa pilu apabila mengenangkan pengorbanan fronliner yang sanggup bergadai nyawa, berdepan dengan pandemik COVID 19.

“ Saya lalui sendiri pengalaman bersama mereka. Saya lihat mereka (petugas barisan hadapan) berkorban nyawa, berjaga siang dan malam untuk kita rakyat.

“COVID 19 ini memang ujian untuk kita semua daripada Allah SWT. Sayu hati bila lihat keadaan sunyi-sepi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

"Kalau kita tengok, ramai yang hilang kerja..yang meniaga dah tak boleh meniaga..Bayangkan kalau mereka ini memang bergantung kepada rezeki itu untuk tanggung keluarga. Sedihnya...

“Mendapat tawaran dari D’Alphalegacy untuk bersama-sama dalam FTV Fronliner adalah rezeki, tak sangka masih ada yang sudi beri tawaran berlakon,” katanya sebak.

Tambah Wan Maimunah lagi, menerusi FTV tersebut, dia memegang watak sebagai Mak Wan, ibu kepada Inspektor Nasir (Achey), salah seorang petugas ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

Mak Wan seorang ibu yang sangat merindui dan sentiasa mengharapkan kepulangan anaknya, namun konflik berlaku apabila anaknya tidak dapat pulang menjenguknya di kampung kerana sedang berjuang untuk menyelamatkan negara.

Faktor usia dan kesihatan yang merosot membuatkan Mak Wan mudah terasa dan enggan memahami kesibukan anaknya.

Selain Wan Maimunah, FTV Frontliner arahan Razif ‘Ajiboy’ Rashid ini turut dibarisi Beto Kusyairy, Emma Maembong, Achey, Farah Ahmad, Azhan Rani, Ashraf Muslim, Zul Handyblack, DSP Noorhamasiren, Meerhakim dan Shamsul Danish.

Filem televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.

Buah tangan terbaharu terbitan syarikat produksi D’Alphalegacy (M) Sdn. Bhd. ini turut mendapat sentuhan kreatif A’minahtul Marrdiah.

‘Frontliner’ dijangka bersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.

#Wan Maimunah #Frontliner #Seniwati Air Mata
;