“Wang Ringgit Tidak Boleh Beli Adab & Kepandaian” - Nadia Brian Terkilan Ditengking & Jadi Mangsa Content
10/03/2023 01:00 MYT
Pelakon Nadia Brian akui sedih dan terkilan dengan tindakan seorang usahawan yang membuat konten dengan cara memalukan dirinya di hadapan umum sehingga video tersebut tular di laman sosial baru-baru ini.
Kata Nadia, dia menyifatkan tindakan usahawan tersebut sebagai keterlaluan selain tidak menjaga sensitiviti orang lain hanya kerana ingin meraih perhatian umum.
“Video yang dimuat naik itu menjadi viral dan ramai sangat orang tonton. Saya menyifatkan tindakan dia sangat memalukan dengan mengaibkan saya. Saya terkilan dan sedih sebab ada orang sebegitu yang sanggup guna pelbagai cara untuk meraih perhatian melalui sosial media.
“Kita ini hidup bermasyarakat, jangan lah guna orang lain untuk kepentingan sendiri. Sensitiviti orang lain perlu juga dijaga. Bila dia buat begitu this is too much.
“Macam mana tinggi pun pangkat atau famous mana pun diri, adab perlu ada. Sedih sangat, bayangkan kalau orang yang berada di tempat saya itu ada sakit jantung, macam mana?,” katanya kepada Gempak.
Nadia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Star Vendors KLCC Mega Raya Fest 2023 yang diadakan di ibu kota pada Khamis.
Dalam pada itu, Nadia turut menjelaskan ketika kejadian tersebut berlaku, dirinya boleh sahaja untuk melawan, namun memilih untuk tidak berbuat demikian disebabkan usahawan itu lebih berusia daripadanya
Malah, aktres tersebut turut menitikberatkan mengenai adab seseorang.
“Of course lah (tiada adab), ibaratnya masuk rumah orang tidak beri salam. Adab sangat simple, wang ringgit tidak boleh membeli adab dan kepandaian seseorang. Tinggi mana pun tetap tunduk pada bumi.
“Saya boleh je kalau nak lawan dia waktu itu, tapi sebab saya tengok dia lebih berumur daripada saya. Ibu ayah saya sentiasa ajar untuk menghormati orang tua biarpun kerja tukang sapu. Untuk apa di buat macam tu? Untuk marketing dia ke?,” tambahnya.
Selain itu, pelakon filem Eva itu turut menjelaskan dia sudah pun memaklumkan hal berkenaan kepada peguamnya untuk diambil tindakan.
“Saya ada juga maklumkan pada peguam saya, tetapi sekarang ini dia di luar negara. Minggu depan baru balik Malaysia. Dia tanya saya pasal video viral itu. Apa pun ia masih dalam proses kerana saya tidak mahu pun buat tindakan sampai saman menyaman, cumanya harap menjadi pengajaran.
“Saya minta pihak dia untuk buat permohonan maaf dengan sebut nama saya dengan betul, sebab sebelum ini dia ada buat permohonan maaf tetapi bukan sebut nama saya, dia sebut Nadia Brahim,” ujarnya lagi.
Terdahulu usahawan tersebut yang dikenali sebagai Madam Mariyah membuat konten dengan menengking Nadia ketika mereka berada di acara Star Vendors yang berlangsung di Pasir Gudang, Johor hujung minggu lalu.