Laman Utama
Wani Comel Meninggal Dunia Akibat COVID-19
Gadis obesiti viral, Wani Comel, 24, dimaklumkan telah meninggal dunia pada pukul 9 malam, Rabu, akibat jangkitan virus COVID-19.
Kawan baik Wani iaitu Putri Nur Rabiatul Nabihah juga meninggal dunia pada hari yang sama pada pukul 4.40 pagi semalam akibat jangkitan yang sama.
Berita itu dikemaskini menerusi hantaran di akaun Instagramnya pada pagi Khamis difahamkan menerusi ahli keluarga Putri Rabiatul.
"Saya ingin maklumkan Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau Wani Comel dah kembali ke Rahmatullah pada jam 9 malam tarikh 18 Ogos 2021.
"Wani pergi pada hari yang sama anak saya meninggal. Mereka berdua meninggal disahkan COVID-19. Allahuakbar Allahuakbar
"Sayu hati saya dua insan yang saya sayangi telah pergi hari yang sama.
"Saya mohon pada semua rakan rakan sedekahkan Al-Fatihah untuk Wani Comel dan Putri Nur Rabiatul Nabihah," tulis pengendali akaun itu.
Berita menyedihkan ini turut menarik perhatian beberapa selebriti yang menzahirkan takziah antaranya Azwan Ali dan Zarina Anjoulie.
Minggu lalu Allahyarham Wani pernah berkongsi sijil digital yang menyatakan dirinya telah menerima vaksin lengkap.
Sebelum Wani, abangnya, Mohd Saidan Ibrahim terlebih dahulu pulang ke Rahmatullah sekitar sebulan lalu akibat serangan jantung di tempat kerja.
Disember tahun lalu, Wani yang berasal dari Jerantut, Pahang pernah mencuri tumpuan ekoran masalah berat badannya yang mencecah 300 kilogram sehingga tidak mampu berjalan.
Kisah Wani menjadi sorotan apabila dirinya mendakwa tertipu selepas teraniaya dan dimanipulasi oleh seorang jutawan kosmetik.
Wani mendakwa dia didatangi seorang usahawan kosmetik sekitar Ogos 2019 untuk melantik dirinya sebagai duta produk pelangsingan badan tetapi perlu menjalani pembedahan pada bahagian perut terlebih dahulu.
Must-Watch Video