HIBURAN
Wani Kayrie Terharu, Tak Sangka ‘Cak Cak Cekuk’ Dipilih Untuk Persembahan Hari Merdeka - “Akhirnya Lagu Itu Orang Nampak…”
Penyanyi, Wani Kayrie akui berasa teruja apabila lagu popularnya berjudul ‘Cak Cak Cekuk’ dipilih sebagai salah satu lagu utama yang bakal dipersembahkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini.
Pencapaian yang baik
Menurut Wani, lagu tersebut bakal digunakan dalam persembahan TMD (Transformasi Minda Digital) yang menampilkan elemen human grafik, melibatkan penyertaan pelajar sekolah dari seluruh negara.
Tambah Wani lagi, dia telah dimaklumkan tentang perkara itu lebih awal, namun tidak menyangka persembahan tersebut adalah sebahagian daripada acara sambutan Hari Kebangsaan.
“Saya dapat tahu dah lebih sebulan sebab mereka sudah melakukan latihan pada waktu itu. Ketika itu saya tak tahu persembahan untuk apa.
“Cuma adik saya beritahu nanti TMD pakai lagu saya. Jadi saya tunggu sahajalah. Tapi bila ramai orang DM cakap lagu saya ada di TMD, saya jadi tertanya-tanya.
“Adakah besar persembahan itu, kenapa semua orang DM saya dan tanya saya ada atau tidak semasa persembahan nanti.
“Sekali bila dapat tahu rupanya persembahan human grafik menari sekali dengan sarung tangan dan sebagainya melibatkan banyak sekolah yang turun.
“Jadi saya rasa sangat seronok bila lagu saya dipilih dan dipersembahkan oleh anak-anak murid yang memang bersemangat menyanyikan lagu itu,” ujarnya.