Wanita Alami Strok Wajah Selepas Picit Jerawat
Seorang wanita bernama Lish Marie tular di TikTok selepas berkongsi pengalaman ngeri apabila wajahnya mengalami strok atau lumpuh sementara akibat memicit jerawat di bawah hidung.
Menurut laporan Oddity Central, pada mulanya Lish hanya cuba memicit jerawat kecil di bawah lubang hidung kirinya menggunakan kuku.
Namun, dalam beberapa jam wajahnya mula membengkak dan hanya satu sisi mulutnya mampu bergerak ketika tersenyum.
Bimbang keadaan semakin serius, Lish segera ke hospital.
Doktor kemudian memberikan empat jenis ubat termasuk antibiotik dan steroid selepas mendapati jangkitan jerawat itu dipercayai merebak ke dalam aliran darah.
Fenomena tersebut dikenali sebagai ‘segitiga maut’ atau 'triangle of death', iaitu kawasan di antara pangkal hidung hingga ke kedua-dua hujung bibir.
Doktor menjelaskan, pembuluh darah di kawasan ini bersambung terus ke otak, justeru sebarang jangkitan boleh mengakibatkan komplikasi berbahaya termasuk strok, kebutaan malah kematian.
Kes seperti Lish bukanlah yang pertama.
Sebelum ini terdapat laporan individu yang terpaksa menjalani pembedahan wajah akibat jangkitan staphylococcus, malah ada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital selama seminggu selepas jerawat di kawasan tersebut dijangkiti.
Walaupun kes sebegini jarang berlaku, pakar perubatan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati.
Jika perlu menghilangkan jerawat di kawasan berisiko itu, langkah kebersihan wajib dipatuhi seperti mencuci tangan dan wajah, menggunakan kapas atau alat steril serta mengelakkan tekanan terlalu kuat.
Lish bernasib baik kerana mendapatkan rawatan segera dan wajahnya kembali pulih selepas tiga hari.
Dalam videonya di TikTok, dia menasihatkan orang ramai agar tidak memicit jerawat di kawasan ‘triangle of death’ untuk mengelakkan kejadian sama menimpa.
Sumber: Sinar Harian