Viral
Wanita Berhijab Join Trend 1930s Haram, PU Syed Kata Boleh Jatuh Fitnah - "Kita Jadi Punca Dosa..."
Tular di media sosial baru-baru ini mengenai trend yang dipanggil “How I look like in 1930s” yang membolehkan gambar seseorang diubah menjadi seakan-akan di era 30s menggunakan teknologi AI.
Segelintir kaum wanita yang berhijab turut ikut serta dalam menghasilkan video ini.
Difahamkan, gambar wanita yang pada asalnya berhijab ini diubah oleh AI tersebut menjadi hasil gambar yang tidak menutup aurat.
Jadi, perkara ini menimbulkan isu yang hangat diperdebatkan oleh kalangan netizen di platform aplikasi TikTok.
Antara komen yang disuarakan:
“Tak faham kenapa kita orang beragama islam yg wajib tutup aurat ni tak boleh fikir benda ni salah.
“Tak elok guna trend ni untuk yang bertudung, orang boleh bayang rambut kita bila tak pakai tudung,” tulis salah seorang pengguna TikTok tersebut.
Jadi, membincangkan tentang isu ini, menurut pendakwah selebriti, PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya menjelaskan bahawa isu tersebut boleh dijatuhkan pengharaman kerana mendatangkan fitnah kepada agama.
“Dalam bab hukum dia lebih kepada pengharaman sebab kita mendedahkan aurat walaupun itu bukan aurat kita yang sebenarnya namun ia mendatangkan fitnah kepada agama.
“Ada benda trend yang kita boleh ikut seperti menyumbang infaq subuh sehari RM1 atau trend seperti Aliff Satar lakukan yang mengajak subuh berjemaah.
“Jadi apabila kita asalnya bertudung kemudian filter tersebut telah merubah gambar menjadi tidak bertudung walaupun itu bukan kita, ia akan mendatangkan fitnah kepada agama, kepada diri sendiri.
“Jadi apabila kita mendatangkan fitnah, kita menjadi punca kuasa kepada dosa tersebut,” jelasnya apabila dihubungi Gempak.
Berita Trending: Waheeda Akui Banyak Ingat Soal Mati Selepas Insiden Yang Hampir Meragut Nyawanya
PU Syed turut menasihati netizen khususnya yang beragama Islam untuk tidak bersikap ‘tasyabbuh’ dimana tidak menyerupai perangai atau keadaan umat-umat terdahulu.
“Jadi nasihat saya, kalau kita nak join trend ini kalau positif dari sisi agama tidak apa.
“Tetapi kalau sebagai umat Islam sebelum kita melakukan sesuatu perkara kita perlu berlandaskan hukum kerana itu lah yang disyariatkan kepada umat islam keseluruhannya,” kongsinya.