Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Wanita Dera Budak Dengan Penyapu Ditahan Polis

Izwan Isa
22/07/2022 04:20 MYT
Pihak polis Kajang telah bertindak menyelamatkan seorang kanak-kanak yang dipercayai didera oleh seorang wanita di sebuah taman perumahan di Beranang, Selangor sekitar pukul 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan menerusi kenyataan rasmi berkata, pihak berkuasa bertindak menyelamatkan mangsa selepas menerima laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk telan nasi sehingga termuntah selain kanak-kanak tersebut dikatakan hyper-aktif.

“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar 4 tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia, di mana kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri.

“Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu untuk menjaganya. Mangsa juga dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penggantung baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api,” ujar Zaid.

Dalam pada itu, Zaid turut memberitahu yang Polis Kajang bertindak menyelamatkan mangsa dan membuat tangkapan ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

“Selepas menerima laporan kejadian, pihak kami telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah melakukan tangkapan ke atas seorang wanita berbangsa Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura berumur lingkungan 28 hingga 30-an di sebuah rumah di taman perumahan di Beranang, Selangor.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001,” katanya lagi.

Pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubung mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Suresh A/L Krishnan ditalian 017-433 3795.

#Polis Kajang #Pukul Penyapu #Wanita Dera Budak