BERITA

Wanita Dihukum Penjara 830 Tahun Tipu Tawaran Kerja

Gempak 22/08/2025 | 14:55 MYT

Seorang wanita Thailand dijatuhkan hukuman penjara 830 tahun selepas didapati menipu 166 mangsa melalui tawaran pekerjaan palsu di Australia.

Wanita berusia 28 tahun itu, dikenali sebagai Aoi, memperdaya mangsa dengan menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi dalam sektor pertanian dan perhotelan di Australia.

Mangsa mendakwa mereka terpaksa membayar antara 60,000 baht (RM7,800) hingga 120,000 baht (RM15,600) setiap seorang sebagai yuran pemprosesan, namun tiada seorang pun dihantar bekerja seperti dijanjikan.

Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi 10 juta baht (RM1.3 juta).

Mahkamah pada Rabu lalu menjatuhkan hukuman penjara 830 tahun ke atas Aoi atas 166 pertuduhan penipuan, namun hukuman itu dikurangkan separuh kepada 332 tahun kerana pengakuan bersalah.

Bagaimanapun, undang-undang Thailand menetapkan maksimum penjara hanya 20 tahun, menyebabkan Aoi perlu menjalani hukuman sebenar selama tempoh itu sahaja.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan Aoi membayar ganti rugi 10.79 juta baht (RM1.38 juta) kepada semua mangsa, manakala sebahagian aset miliknya disita.

Siasatan lanjut terhadap enam lagi individu termasuk ahli keluarga dan teman lelaki Aoi masih dijalankan selepas mereka dinamakan mangsa sebagai rakan subahat dalam skim penipuan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian
#Kerja #Kena Tahan