BERITA

Wanita Penuntut Universiti Di Cyberjaya Mati Dibunuh, Disamun - KPD Sepang

Gempak 26/06/2025 | 09:25 MYT
Polis mengesahkan tiada unsur rogol dalam kes pembunuhan seorang wanita yang juga penuntut sebuah universiti yang ditemui mati di asrama pelajar di Cyberjaya, pagi kelmarin.

Pengesahan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, jasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian wanita berusia 20 berbangsa Sikh itu adalah disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian kepala.

"Mangsa ini telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya di Mutiara Ville, Cyberjaya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke atas kediamannya dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa adalah disebabkan 'blunt force trauma to the head' atau hentakan objek tumpul di kepala," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Norhizam berkata, tiada sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur rogol dalam kes ini.

"Berdasarkan laporan awal bedah siasat ini, pihak polis menafikan dakwaan yang tular menerusi media sosial yang menyatakan mangsa dibunuh dan dirogol.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Husny Hussien ditalian 012-9307860 atau hadir ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pihak Polis Daerah Sepang memandang serius kes ini dan menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi serta berkongsi maklumat yang tidak benar sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Berdasarkan laporan BH sebelum ini, mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati oleh rakannya sekitar jam 10 pagi kelmarin dalam unit kediamannya di Cyberjaya.

Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, di sebuah universiti di Cyberjaya, tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Mangsa dijadualkan untuk menghadapi peperiksaan hari dia ditemui mati.

Selain itu beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang disyaki dilarikan suspek.

Sumber: Berita Harian

#wanita #Bunuh #Pelajar #Diri #Cyberjaya #University