GAYA HIDUP
Wanita Plus Size Pun Boleh Buat... Menyanyi, Menari, Catwalk!
Stigma masyarakat mengenai wanita yang bertubuh gempal dan comel sudah mula berubah.
Jika dahulu, wanita yang mempunyai susuk tubuh 'plus size' sering diberi pandangan berbeza dan dianggap tidak pandai bergaya.
Kini, segalanya berbeza.

Gelaran 'plus size' tidak menjadi halangan kepada wanita di luar sana untuk tampil bergaya.
Mereka juga mempunyai bakat tersendiri iaitu menyanyi, menari dan menjadi model fesyen 'plus size'.
Dek kerana itu, tercetusnya idea penganjuran Look of Plus Size 2019 (LOPS 2019) oleh tujuh sekawan yang menggelarkan diri mereka Xtravaganza Management.
"Dengan misi utama untuk menaikkan martabat wanita tak mengira saiz, LOPS 2019 mahu menonjolkan keyakinan diri yang ada dalam diri wanita 'plus size'.
"Pencarian ini menjadi bukti wanita 'plus size' juga mampu untuk melangkah penuh yakin dalam mempamerkan bakat mereka, tak kiralah untuk menyanyi, menari atau catwalk sebagai model," kata Azhar Zainal Ariffin dari AZ Design selaku ketua kepada Xtravaganza Management.

Pada peringkat awal, LOPS 2019 menampilkan 60 peserta yang menyertai pertandingan ini dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Pemilihan dibuat berdasarkan beberapa tugasan dan komitmen yang diberikan oleh peserta LOPS 2019.
Di pertandingan akhir LOPS 2019 yang berlangsung pada Sabtu lalu, seramai 20 finalis comel mempertontonkan bakat mereka dalam beberapa sesi.

Menerusi pertandingan ini juga, pemerkasaan golongan wanita berjaya dicetuskan apabila ada dalam kalangan 20 finalis pernah menjadi mangsa buli dan keganasan rumah tangga.
Tempat pertama LOPS 2019 disandang oleh Syamim Arshad manakala Siti Naila Sekandar berjaya meraih kedudukan naib juara.

Tempat ketiga disandang oleh Nur Hafizah Abdul Latiff dan tempat keempat serta kelima pula dimenangi oleh Fairus Nurfajilah Anuar dan Nor Sabrina Abu Bakar.
Peserta dan penonton yang hadir turut dimeriahkan dengan persembahan oleh Mafarikha, Ayu Damit dan Azharina.
Berikut merupakan keputusan penuh LOPS 2019:
Juara: Syamim Arshad
Naib Juara: Siti Naila Sekandar
Ketiga: Nur Hafizah Abdul Latiff
Keempat: Fairus Nurfajilah Anuar
Kelima: Nor Sabrina Abu Bakar
Miss Congeniality: Nor Sabrina Abu Bakar
Miss Natural Beauty: Nur Hafizah Abdul Latiff
Miss Body Beautiful: Noraini Ismail
Miss Most Favourite: Syamim Binti Arshad
Miss Photogenic: Jazzmine Hanz
Best Catwalk: Siti Naila Sekandar
Miss Popular: Siti Naila Sekandar

Must-Watch Video