BERITA

Warden Pusat Tahfiz Tampar Pelajar Kerana Makan Roti Tanpa Kebenaran Didenda RM1,200

Gempak 03/06/2025 | 07:20 MYT
Seorang warden pusat tahfiz didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pada Selasa selepas mengaku bersalah menampar seorang pelajar lelaki dalam kejadian yang berlaku pada April lalu.
Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, turut berdepan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, Mohd Norzaizhul didapati dengan sengaja mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dengan menampar bahagian kiri dan kanan muka mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di asrama pusat tahfiz terbabit kira-kira jam 3.45 petang pada 26 April lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masliela Ismail.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di daerah ini mendakwa cedera akibat ditampar oleh warden asrama selepas didapati memakan roti tanpa kebenaran.
Difahamkan, insiden itu berlaku selepas warden berkenaan berang apabila mengetahui mangsa memakan roti yang disediakan sebagai sarapan untuk pelajar pada keesokan harinya.
Sumber: Sinar Harian
#Viral #Tampar #Tahfiz #Warden #Roti