VIRAL
Warga Emas Pukul, Lempar Kucing Ditahan Polis!
Lelaki warga emas ditahan selepas memukul dan melempar kucing ke kawasan rumah tidak berpenghuni di Taman Yayasan di Segamat, Johor pada Rabu.
Suspek berusia 71 tahun ditahan susulan polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pemilik kucing jenis Turkish.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis mengesan rakaman video dan gambar yang tular di media sosial memaparkan kucing dalam keadaan cedera.
Menurutnya, hasil semakan terhadap video terbabit mendapati kejadian berlaku di Taman Yayasan di sini, pada 11.12 pagi semalam.
"Berdasarkan laporan dibuat wanita itu, dia ternampak suspek yang juga jirannya sedang menjolok sesuatu dalam longkang.
"Wanita itu kemudian mendekati suspek sebelum terkejut melihat kucingnya berada dalam longkang dengan berdarah dipercayai dipukul suspek.
"Pada masa sama, terdapat juga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejiranan yang memaparkan suspek memukul dan melempar kucing ke rumah tidak berpenghuni," katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Ahmad Zamry berkata, tangkapan dilakukan ke atas suspek pada 12.10 tengah malam tadi.
Ahmad Zamry berkata, siasatan ke atas suspek mendapati dia mengakui melakukan perbuatan itu kerana berasa terganggu dengan kehadiran kucing.
"Berikutan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksye 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.