Hiburan
Waris Jual Baju Sekolah Sekitar Negeri Sembilan
Penyanyi rap Waris mengakui gembira apabila hasrat untuk mengusahakan perniagaan baju sekolah telah terlaksana.
Kata Waris, dia akan menjual baju sekolah keluarannya bersama penyanyi Juzzthin yang diberi nama Most Wanted School Uniform di sekitar Negeri Sembilan.
Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, berkata dia memilih untuk mengeluarkan baju sekolah itu selepas mendapat pandangan daripada rakan mengenai perniagaan yang boleh dilakukan olehnya.
"Alhamdulillah hasrat untuk memulakan perniagaan telah terlaksana dan saya bersama Juzzthin berjaya mengeluarkan produk kami sendiri.
"Pemilihan untuk mengeluarkan baju sekolah 'Most Wanted School Uniform' ini datang selepas mendapat pandangan daripada kawan mengenai perniagaan yang kami boleh jalankan.
“Sebagai permulaan baju sekolah ini akan dijual di sekitar Negeri Sembilan dan jika ia mendapat sambutan yang menggalakkan saya berharap dapat menjualnya di seluruh Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.
Waris berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album kumpulan Viral di Redbox, The Gardens baru-baru ini.
Tambah Waris, baju sekolah itu dibawa masuk dari Bangladesh dan kualitinya setanding dengan baju produk lain yang berada di pasaran sekarang ini.
“Baju ini siap dijahit dan dibawa masuk dari Bangladesh.
"Saya memilih Bangladesh kerana material kapas yang digunakan berkualiti dan harga juga berpatutan sesuai dengan harga yang akan saya jual di pasaran,” katanya.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi