Pelakon Farid Kamil mendedahkan dirinya rasa tidak yakin selepas mewarnakan rambut.

Buat kali pertama, Farid mewarnakan rambutnya rona keperangan untuk menjayakan watak Tengku Ryan Ameer dalam drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu.

Drama arahan Along Kamuddin itu merupakan adaptasi novel terkemuka karya Siti Rosmizah dan bakal bersiaran di Astro Ria.

"Sejujurnya, saya rasa insecure. Saya rasa sangat tak selesa. Ini merupakan penampilan sulung saya dengan rambut berwarna.

"Selama ini, saya tidak pernah mewarnakan rambut. Namun begitu, demi tuntutan karakter, saya gagahkan sahaja dan cuba untuk membiasakan diri dengan penampilan sebegini," kata Farid kepada Astro Gempak.

Bergandingan dengan aktres Nelydia Senrose, Farid tertarik dengan jalan cerita drama bersiri ini yang lari daripada kebiasaan.

"Jika penonton selalu disajikan dengan kisah cinta antara dua darjat, drama bersiri ini mempunyai kisah berbeza.

"Lafazkan Kalimah Cintamu memaparkan kisah antara dua insan yang berada dalam liga yang sama. Ini merupakan gandingan pertama saya bersama Nelydia," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Trailer dan Runut Bunyi filem Pinjamkan Hatiku baru-baru ini.

Menerusi filem arahan Osman Ali ini, Farid bergandingan bersama Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

Filem Pinjamkan Hatiku bakal menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 30 November 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @faridkamilz