Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Wartawan ‘Terjah’ Nas Ahmad Meninggal Dunia

Umirah Halim 01/05/2025 | 03:39 MYT
Dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian bekas penerbit dan wartawan program Melodi, Nas Ahmad yang meninggal dunia pada pagi Khamis, 1 Mei 2025.
Berita sedih itu dikongsikan oleh menantunya melalui panggilan telefon kepada pihak media.
Selain itu, pengacara terkenal, Fedtri Yahya, turut memaklumkan pemergian Allahyarham melalui sebuah hantaran di Instagram miliknya.
"Buat yang mengenali wartawan Nas Ahmad, beliau telah meninggal dunia pagi tadi," katanya ringkas dalam hantaran tersebut.
Jenazah Allahyarham kini sedang berada di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan keluarga terdekat sedang menguruskan proses pengebumian.
Nas Ahmad, yang juga dikenali sebagai seorang penerbit dan wartawan berpengalaman, telah banyak memberikan sumbangan dalam dunia hiburan tanah air, terutamanya menerusi program Melodi yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan.
Kecekapan dan dedikasinya dalam dunia kewartawanan hiburan menjadikannya antara nama yang dihormati di kalangan rakan media dan selebriti.
Namun, sejak awal tahun 2023, Nas Ahmad telah berdepan ujian berat apabila disahkan menghidap penyakit jantung. Penyakit itu memerlukan rawatan dan pembedahan yang menelan kos lebih RM30,000.
Malangnya, penyakit tersebut menyebabkan Allahyarham semakin sukar untuk bergerak seperti biasa, dan kerap berasa mengah serta lemah.
Sama seperti kebanyakan penggiat industri hiburan yang mengenali Nas, berita pemergiannya turut memberi kesan yang mendalam.
Beliau merupakan seorang individu yang sangat dedikasi dalam kerjayanya dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Takziah diucapkan kepada keluarga dan semua yang mengenali beliau.
#Wartawan #Ahmad #Meninggal #Terjah #Nas