Hiburan
"Watak Antagonis Beri Kesan" - Scha Alyahya
Pelakon dan pengacara jelita, Scha Alyahya mengakui watak antagonis yang dibawa lebih diingati penonton.
Menjayakan watak antagonis bernama Daniella dalam drama mini bersiri digital Dua, Scha berlakon di bawah arahan sutradara Michael Ang.
"Ini merupakan watak antagonis kedua yang diberikan oleh Michael kepada saya. Sebelum ini, saya memegang watak sebegitu dalam drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari.
"Mungkin Michael melihat kebolehan saya untuk memegang watak sebegini dan pada masa yang sama, sebagai pengarah, Michael pastinya mahu mengembangkan lagi kebolehan lakonan saya.
"Walaupun watak Daniella dalam drama bersiri mini Dua ini tidak melibatkan banyak babak, saya akui karakter antagonis sering meninggalkan kesan tersendiri kepada penonton dan peminat akan lebih mengingatinya," kata Scha.
Tambah isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini, dia selesa bergandingan dengan pelakon lain seperti Sweet Qismina, Ben Amir dan Sharifah Sakinah.
"Saya sering berlakon dengan Michael dan selesa bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain. Alhamdulillah, penggambaran berjalan lancar dan saya teruja kerana ini projek pertama saya menerusi drama mini bersiri digital," katanya.
Drama bersiri Dua ini bakal ditayangkan secara eksklusif di portal Gempak pada awal November ini.
Must-Watch Video