Penyanyi R&B Amerika Syarikat, Halle Bailey diberikan tanggungjawab menggalas peranan utama dalam filem Disney reimagining The Little Mermaid.

Menyandang peranan utama sebagai Ariel, Halle, 19, dalam kenyataannya di media sosial menganggap ia satu impian jadi kenyataan.

"Dream come true," tulisnya di Twitter.

Filem itu akan diarahkan oleh Rob Marshall yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Marry Poppins.

"Selepas mencari sekian lama kami pasti Halle memiliki ciri-ciri yang dimahukan daripada segi semangat, keremajaan, ketulusan dan paling utama suara yang menakjubkan untuk melakonkan watak ikonik itu," kata Rob kepada media antarabangsa.

Bagaimanapun, pemilihan penyanyi berkulit hitam itu mendapat kecaman netizen apabila karakter asal Ariel merupakan duyung berkulit cerah, berambut merah dan bermata biru.

Netizen menganggap Halle bukan pilihan tepat untuk menjayakan karakter popular itu hingga ada yang mengajuk dengan pelbagai panggilan di media sosial.

Namun, masih ada segelintir netizen yang bersetuju dengan pilihan Halle untuk mendukung watak Ariel.

Filem itu akan memuatkan lagu-lagu daripada filem animasi The Little Mermaid pada tahun 1989.

Penggambaran The Little Mermaid live-action itu akan dimulakan pada awal tahun 2020.