Filem Bollywood Gangubai Kathiawadi arahan dan terbitan Sanjay Leela Bhansali membolot 10 trofi dalam Hyundai Filmfare Awards ke-68 yang berlangsung pada Khamis.

Bhansali dinobatkan sebagai pengarah terbaik manakala bintang utamanya, Alia Bhatt dianugerahkan trofi Pelakon Wanita terbaik untuk watak yang diadaptasi daripada kisah sebenar itu.

"Filem Gangubai sangat istimewa dan dekat di hati saya. Saya sangat emosional setiap kali bercerita tentang filem ini.

"Anugerah ini untuk setiap individu yang bekerja keras untuk karya ini.

"Saya sangat berbangga melihat persembahan Alia Bhatt dalam Gangubai. Si kecil ini pernah datang ujibakat ketika seawal umur 9 tahun untuk filem Black, tapi saya tidak menerimanya. Tapi saya tahu, inilah bakal heroin filem saya nanti.

"Terima kasih menjadikan Gangubai luar biasa," kata Bhansali dalam ucapan.



Manakala ketika menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dari aktres popular Rekha, Alia terkedu dan sebak.

"Saya tak terkata! Ia mengambil masa dua tahun untuk menyudahkan filem ini dan yang anehnya, apabila Sanjay bercerita tentang filem ini saya jadi sangat takut pada mulanya.

"Soalan pertama yang muncul, mampukah saya melakukannya? Saya tak rasa boleh buat. Tapi Sanjay kata 'Ya, kamu boleh'.

"Segala apa yang saya lakukan dalam Gangubai Kathiawadi, saya amat berterima kasih buat Sanjay Leela Bhansali.

"Dari umur 9 tahun lagi saya bermimpi untuk bekerja di bawahnya dan tak sangka saya menjadi heroin filemnya. Perjalanan kita baru saya bermula," ujarnya penuh bersemangat.

Gangubai Kathiawadi menjadi filem pecah panggung berbahasa Hindi pertama pada tahun 2022. Sehingga ditayangkan, ia mencatatkan jumlah kutipan RM83 juta domestik dan RM114.4 juta secara global.

Filmfare Awards 2023 turut menganugerahkan Gangubai Kathiawadi trofi Dialog Terbaik (Utkarshini Vashishtha), Skor Latar Terbaik (Sanchit Balhara & Akit Balhara), Sinematografi Terbaik (Sudeep Chatterjee), Rekaan Set Terbaik (Subrata Chakraborty, Amit Ray), Rekaan Kostum Terbaik (Sheetal Iqbal Sharma) dan Koreografi Terbaik (Kruti Mahesh).

Anugerah R D Burman turut diberikan kepada Jahnvi Shrimankar yang menyanyikan lagu Dholida dalam filem terbabit.

Filem Gangubai Kathiawadi mengisahkan tentang seorang pelacur yang memperjuangkan haknya. Ianya diadaptasi daripada buku tulisan Hussain Zaidi, Mafia Queens of Mumbai.