Usahawan dan wanita yang sedang rapat dengan pelawak Shuib Sepahtu iaitu Watie Hanifiah kini menjadi perhatian netizen di laman sosial.

Bagaimanapun Shuib memberitahu dia tidak kisah sekiranya Watie menjadi tumpuan di laman sosial menerusi perkara yang baik.

“Kalau sebelum ini kadang-kadang, on side saya la, kalau tengok komen itu terlalu negatif untuk dia, sedihlah saya. Tapi sekarang ini, dia menjadi perhatian untuk benda yang baik, saya ok saja.

“Sebab ada juga orang rasa dia ni rupanya dah lama juga berhijab… bukanlah nak nampak sangat tapi kalau benda itu boleh dipandang positif, Alhamdulillah,” ujarnya kepada Gempak.

Malah menurut Shuib lagi, perhatian yang diterima itu juga membuatkan Watie lebih gembira kerana sekaligus bagus untuk mempromosikan perniagaan yang diusahakan wanita itu.

“Dia ada la cakap-cakap tapi dia lebih nampak kepada seronok la. Dia pun berniaga, it is good untuk dia punya bisnes juga. Sebab bisnes yang dibuat untuk keluarga dia.

“Seluruh keluarga dia memang buat bisnes itu. Bagus juga untuk dia, yela benda baik. Bila dah jadi perhatian bolehlah nak buat berniaga ke.

“Tapi saya pernah cakap pada dia, jangan berlebih-lebihan sebab dia baru juga untuk netizen. Kena hati-hati sebab kalau tak tahan (kecaman), susah juga. Kalau kental, lain cerita,” ujarnya.

Terdahulu, Shuib mengakui dia kini mempunyai hubungan rapat dengan Watie dan berharap semua orang mendoakan mereka.

Untuk rekod, Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan pasangan itu dikurniakan empat anak, Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan yang berusia setahun.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.