Laman Utama
Wawa Zainal Gembira Anak Mula Makan Ayam Selepas 7 Tahun! - “Sebelum Ni Attar Makan Nasi & Sup Kosong Je”
Pelakon dan usahawan Wawa Zainal meluahkan rasa gembira apabila anak sulungnya, Ahmad Fakhruddin Attar mula menunjukkan minat untuk makan daging ayam.
Menurut Wawa, sejak tujuh tahun lepas, anaknya tidak makan daging ayam dan hanya sukakan nasi bersama sup kosong.
Menerusi laman sosial Instagram, Wawa berkongsi momen Attar, 8, menikmati daging ayam panggang untuk tatapan umum.
“Alhamdulillah selepas 7 tahun, Attar dah pandai makan ayam.
“Semalam masak ayam kari kemudian kebetulan dia kat dapur. Dia cakap bau sedap dan dia nak try. Akhirnya dia pun try ayam kari semalam.
“Sedap katanya dan request suruh masak lagi. Jadi hari ni masakkan lagi ayam untuk Attar dan dia sukakannya!” tulis Wawa di ruangan kapsyen.
Tambah Wawa, selepas anaknya mula menggemari daging ayam, dia berharap Attar akan mula makan sayur-sayuran pula.
“Sebelum ni Attar memang makan nasi dan kuah sup kosong je. Buah-buah makan jugak. Tapi sayur langsung taknak. Hopefully lepas ni makan sayur pulak.
“Baru dia tahu betapa nikmat dan lazatnya daging ayam ni. Korang ada anak macam ni jugak?” ujar isteri kepada aktor Aeril Zafrel itu lagi.
Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya yang berkongsi pengalaman yang sama seperti Wawa dan bagaimana mereka berdepan dengan selera anak-anak.
“Anak saya pun sama. Now dah 5 tahun, hanya makan nasi, kuah dan sayur je. Ikan ayam langsung taknak,” komen seorang wargamaya.
“Sama dengan anak lelaki saya. Umur 6 tahun makanan dia sama je nasi sup. Pedas taknak langsung,” tulis seorang wargamaya.
“Anak saya pulak, ayam KFC je dia makan. Ayam yang bukan KFC semua dia taknak,” kongsi seorang wargamaya.
“Anak saya dah 8 tahun, dia makan nasi dan kicap je. Telur tunggu dia request. Masak la apa pun, lauk dia kicap je. Jenuh dah pujuk tapi masih taknak. Harap dapat jadi macam Attar,” luah seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, perkongsian video berdurasi 36 saat itu telah menerima hampir 400,000 tontonan daripada pengikutnya.
Untuk rekod, pasangan Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
Selain Attar, dua lagi anak pasangan itu adalah Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, dan Ayyasofy, 2 tahun.