Penyanyi tersohor dunia, Celine Dion rupanya tidak tahu akan kewujudan lagu kanak-kanak popular Baby Shark sehinggalah.. diperkenalkan oleh James Corden.

Menerusi siri Carpool Karaoke terbaru itu, Celine atau nama sebenarnya Céline Marie Claudette Dion, 51, diajukan soalan adakah dia tahu tentang lagu Baby Shark.

“What is Baby Shark?” Jawabnya dengan muka jelik.

Setelah diajar, dia menyanyikan lagu tersebut dengan penuh aksi dramatik!

Selain Baby Shark, mereka sempat menyanyikan lagu It’s All Coming Back To Me Now, Because You Loved Me dan OST Titanic, My Heart Will Go On.

Celine Dion menaiki kereta dan bot bersama hos, James Corden mengelilingi kota Las Vegas. Peminat cukup teruja melihat aksi mereka di atas kapal sambil diiringi persembahan air pancut.

Dalam video berdurasi 14 minit itu juga, penyanyi itu turut memaparkan sisi lucunya yang mungkin ada peminat belum pernah lihat.

Baru sahaja dimuat naik semalam, video itu telah mendapat 15 juta tontonan dengan hampir 110,000 perkongsian di Facebook.

Carpool Karaoke merupakan sebuah siri lepak karaoke di dalam kereta sambil bersiar-siar yang dihoskan oleh James Corden.

Selain Celine Dion, antara selebriti ternama yang pernah ikut menyanyi bersama Corden adalah Mariah Carey, Adele, Lady Gaga, Bruno Mars dan ramai lagi.