WHO Isytihar COVID-19 Wabak Pandemik, Ini Maksudnya

Mya Amri
Mac 12, 2020 06:37 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik lapor Awani.
Perkara itu diumumkan menerusi akaun Twitter rasmi pertubuhan itu, yang antara lain menyatakan penilaian terkini dibuat setelah memantau penularan dan kemudaratannya.
“WHO telah menilai penularan ini sepanjang masa dan sangat bimbang dengan tahap penyebaran dan kemudaratannya, juga mengambil kira tahap tindakan yang tidak mencukupi.
“Oleh itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh dikategorikan sebagai pandemik,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Tambahnya, pandemik bukan suatu istilah yang boleh digunakan secara ringan atau kurang teliti. Ia adalah istilah, yang jika disalah guna, boleh mengakibatkan ketakutan yang tidak sepatutnya, atau persepsi bahawa penentangan terhadapnya sudah berakhir, hingga menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak perlu.
"Menyifatkan situasi ini sebagai pandemik bagaimanapun tidak mengubah penilaian WHO mengenai ancaman yang dibawa oleh koronavirus ini.
"Ia tidak mengubah sebarang langkah yang diambil oleh WHO, dan tidak mengubah tindakan yang perlu diambil oleh negara-negara terlibat.
"Kita tidak pernah sebelum ini melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus. Pada masa yang sama, kita juga tidak pernah melihat satu pandemik yang boleh dikawal," jelasnya.
Menurut Tedros, WHO sudah dalam mod bertindak, sejak kes pertama.
"Setiap hari, kami menyeru setiap negara untuk mengambil langkah segera dan agresif," ujarnya.

? BREAKING ? "We have therefore made the assessment that #COVID19 can be characterized as a pandemic"-@DrTedros #coronavirus pic.twitter.com/JqdsM2051A

— World Health Organization (WHO) (@WHO) March 11, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, pandemik merujuk kepada penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia dan merentasi kawasan luas hingga melepasi sempadan negara dan benua, malah ke seluruh dunia.
Sumber: Astro Awani
#WHO #COVID-19