WHO Nafi Dibeli China
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo bahawa badan dunia itu 'dibeli' oleh China adalah tidak benar, lapor AWANI.
Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, pihaknya tidak akan melayan tuduhan sedemikian.
“Kenyataan ini dibuat Selasa lalu. Ia tidak benar dan tidak boleh diterima, serta tidak mempunyai asas kukuh,” kata Tedros.
“Fokus utama kami ketika adalah untuk menyelamatkan nyawa. Tiada yang lebih penting daripada perkara ini kepada kami dan komuniti antarabangsa.
“WHO tidak akan terganggu dengan komen sebegini.”
Badan dunia itu menjadi sasaran kecaman Amerika sejak pandemik COVID-19.
Pentadbiran Presiden Donald Trump berulang kali mengkritik WHO kerana didakwa berat sebelah terhadap China ketika peringkat awal penularan koronavirus.
Ia kemudian disusuli dengan tindakan Trump yang mengarahkan supaya negara itu keluar daripada WHO.
Terdahulu, akhbar Times of London melaporkan Pompeo mendakwa bahawa Ketua Pengarah badan dunia itu telah dibeli oleh China.
“Kami berpendapat, setiap negara, termasuk China, perlu bersikap menurut lunas undang-undang yang wajar dan konsisten,” tegas Pompeo.
“Mereka tidak boleh membuat tuntutan maritim ke atas kawasan yang bukan milik mereka.”
Tambah Pompeo, “Kami mahu setiap negara yang memahami nilai kebebasan dan demokrasi, serta kepentingannya kepada rakyat dan kedaulatan mereka, untuk memahami ancaman ini yang dilakukan Parti Komunis China terhadap mereka," ujarnya.
Sumber : Astro AWANI