Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat pendekatan yang praktikal dan fleksibel sangat penting bagi memerangi pandemik Covid-19.

Menurut Azmin, kenyataan Utusan Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr David Nabarro, mengatakan ‘lockdown’ tidak seharusnya menjadi kaedah utama mengawal wabak tersebut.

“WHO telah memberi amaran kepada ekonomi dunia berkenaan dengan ‘lockdown’ kerana kesannya yang teruk terhadap ekonomi khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Pendekatan yang pragmatik dan fleksibel dalam menangani pandemik adalah kunci untuk membantu negara menghadapi cabaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin menekankan mengenai komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat mencapai imuniti kelompok.

“Pada waktu yang sama, kerajaan tetap terus berusaha untuk mempercepat vaksinasi rakyat terutama kepada kelompok yang paling rentan.

“Imuniti adalah jalan yang perlu diambil untuk bergerak ke hadapan,” kata beliau menerusi laporan Sinar Harian.

Sekadar info, pada Khamis lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula hari ini susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.