Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Why Not Kan?" - Jutawan Tudung Haliza Maysuri Puas Hati Tempah Gaun RM250,000, Bertatahkan 83,900 Kristal Swarovski

Amri Hassan
17/12/2023 05:55 MYT
"Saya dah tempah gaun ni sejak setahun lalu," demikian kata-kata Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri mengenai gaun maroonnya yng viral ketika sambutan ulangtahun ke-25 jenama tudungnya.

Dedah Haliza lagi, dia berbangga dapat menyarung gaun bernilai RM250,000 rekaan Rizalman Couture.

Malah, busana berwarna maroon itu diinspirasikan daripada karakter drama Turki kesukaannya, Magnificent Century dan bertatahkan lebih 83,900 butir kristal Swarovski.



"Harga RM250,000 merangkumi harga kesemua sepersalinan penuh gaun termasuk mahkota dan kasut yang saya pakai.

"Fabrik gaun ini pula diimport dari United Kingdom (UK). Proses itu mengambil masa sangat panjang memandangkan ia dijahit secara teliti dengan teknik handmade," katanya kepada Gempak.

Haliza mencuri tumpuan ramai dengan gaun maroon baldu ketika menghadiri makan malam tahunannya bersama lebih 800 tetamu di Sunway Hotel Resort.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Dedah Haliza lagi, pada mulanya dia mahu mendapatkan khidmat rekaan pereka fesyen dari Turki.

"Sebenarnya sebelum berjumpa Rizalman, saya sudah mencari beberapa pereka fesyen di Turki, tetapi agak sukar kerana perlu fitting dan ulang alik ke sana. Jadi, saya rasa satu-satunya pereka fesyen yang dapat memenuhi kehendak saya adalah Rizalman.

"Saya beri kepercayaan kepada Rizalman Couture menghasilkan busana ini kerana mereka sangat detail dan itu yang memberikan saya keyakinan. Sebelum ini, untuk acara besar pun saya memang menggunakan khidmat mereka.

"Inilah hasilnya dan memang rasa amat berat dan sukar untuk digambarkan penampilan saya. Apa yang saya nak, Rizalman sudah dapat menjiwainya," ujarnya.



Melanjutkan bicara, dia tidak kisah untuk berbelanja besar untuk gaun maroon itu sebagai salah satu tanda sokongan kepada pereka fesyen tempatan.

"Malam ini dihadiri oleh pihak Swarovski yang diterbangkan daripada Austria semata-mata untuk majlis makan malam. Saya memang nak pihak Swarovski melihat busana saya dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Bawal Exclusive.

"Saya beli sepersalinan pakaian dengan harga RM250,000 yang dihasilkan orang seni. Why not? Siapa yang tidak kenal dengan Rizalman kan?" tambahnya.

Selain itu, Bawal Exclusive turut membuat bidaan untuk rekaan tudung pertama yang dikeluarkan iaitu Bawal Tabur.

Bermula dengan harga RM25, Bawal Tabur ini telah berjaya dibida dengan harga tertinggi RM78,000. Hasil jualan tersebut disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Palestin (Malaysia Medical Relief Society).

Majlis yang penuh gemerlapan ini juga mempamerkan koleksi-koleksi yang direka khas oleh creative designer Bawal Exclusive yang berharga antara RM10,000 sehingga RM113,000.00

Di samping itu, acara tersebut juga untuk meraikan pelanggan-pelanggan dari seluruh Malaysia yang banyak menyokong dan menaikkan jenama Bawal Exclusive. Tidak dilupakan juga kepada Premium Reseller dan Reseller yang menjadi rantaian untuk menyebarkan lagi Bawal Exclusive kepada semua peringkat masyarakat.

Sekadar info, Bawal Exclusive cukup terkenal dari aspek ketukangan yang luar biasa, perhatian terhadap perincian dan komitmen terhadap kualiti. Setiap koleksi, sama ada tempahan ataupun tudung sedia ada, menceritakan kisah inovasi dan keperibadian, merakamkan intipati keanggunan moden dan gaya abadi sambil mengekalkan ciri-ciri kesopanan pada tahap terbaik.

Bawal Exclusive telah berkembang menjadi jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan telah memikat hati individu dalam dunia fesyen di lebih daripada lima buah negara.

#Viral #Rizalman #Tudung #Magnificent Century #Mahal #Kristal #Turki #Swarovski #Jutawan #Bawal Exclusive #Haliza Maysuri #Gaun #Couture
;