Hiburan
“Wira Buat Saya Rasa Seperti Berlakon Di Hollywood” - Yayan Ruhian, Bintang John Wick 3
Pelakon Indonesia yang juga merupakan bintang filem John Wick 3, Yayan Ruhian kagum dengan produksi filem Wira.
Menurut Yayan, untuk menghasilkan filem aksi tidak mudah dan dia berasa berbesar hati kerana dilamar untuk menjadi sebahagian besar daripada keluarga Wira.
“Saya rasa dalam hal produksi itu tidak mudah semuanya tetapi setiap kesulitan yang dihadapi boleh diatasi kalau kita bekerjasama.
“Sebuah filem terbentuk dengan hasil kerjasama semua orang dan saya cukup berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada team Wira.
“Jujur dari hati saya jika orang bertanyakan memgenai Wira... Selama saya menjalani penggambaran filem ini rasanya saya sepert ‘shooting’ di Hollywood,” katanya ketika ditemui Gempak.
Tambah Yayan, mereka tidak hanya sekadar bekerja sebaliknya hubungan antara team produksi itu boleh diibaratkan seperti keluarga.
“Sejak mula lagi orang-orang yang terlibat dengan Wira memang sangat profesional, kemudian cara kerja mereka juga mantap.
“Semua itu benar-benar memberikan saya pengalaman luar biasa dan saya berasa cukup senang dapat bekerjasama dengan mereka selain diterima oleh team Wira.
“Bagi saya, team ini tidak hanya menjadi rakan dalam sesebuah karya sebaliknya terasa seperti keluarga juga,” ujarnya.
Pada yang belum menonton, filem Wira telah pun mula ditayangkan bermula Khamis lalu.
Selain Hairul, filem arahan Adrian Teh ini turut dibintangi oleh Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.
Malah, ia turut menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda, manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.
Untuk rekod, Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.
Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.
Must-Watch Video