Wohoo! Bestnya! Konsert Percuma Wings Untuk Festival Folklore Antarabangsa
Mya Amri
01/12/2022 10:45 MYT
01/12/2022 10:45 MYT
Kumpulan rock terkenal, Wings akan mengadakan konsert percuma sempena malam kemuncak Festival Folklore Antarabangsa Petaling Jaya (PJ Folklore) pada 4 Disember ini.
Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yakin kemunculan Wings bakal memeriahkan lagi festival tersebut.
“Mereka adalah antara kumpulan rock yang memiliki aura hebat, Wings juga sudah berada dalam indistri lebih 35 tahun.
“Mereka juga mempunyai peminat yang tersendiri, saya percaya dengan adanya Wings, pasti akan memeriahkan lagi Festival Folklore ini.
“Saya juga percaya ramai yang suka mendengar lagu rock kapak, mungkin persembahan mereka di festival ini menjadi konsert penutup Wings bagi tahun ini dan memberikan kenangan manis buat pengunjung yang hadir kelak,” katanya.
Festival ini menyasarkan penyertaan peserta dan pengunjung seramai 30,000 orang. Ia juga merupakan usaha sama di antara MBPJ dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), International Council of Organizations of Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF Malaysia) dan Tourism Selangor.
PJ Folklore 2022 ini merupakan salah satu usaha dan inisiatif bagi mempromosikan Bandar Raya Petaling Jaya sebagai sebagai sebuah Kota Seni dan Destinasi Pelancongan Antarabangsa selain menghidupkan kawasan Seksyen 52.
Selain itu, ia juga selaras dengan pelaksanaan Petaling Jaya Smart, Sustainable and Resilient (PJSSR2030), ia juga merupakan salah satu agenda menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya mampan.
Festival ini mengetengahkan konsep kepelbagaian, keunikan, keharmonian, kesenian rakyat, budaya komuniti tempatan dan antarabangsa, perkongsian ilmu dan ketamadunan negara-negara serta memupuk kasih sayang dan cintakan budaya negara-negara lain.
Pelbagai acara menarik akan dianjurkan antaranya melibatkan persembahan kebudayaan dan pameran busana tradisional daripada 8 buah negara antarabangsa.
Negara-negara itu adalah Indonesia melibatkan dua kumpulan dari Bandung dan Kalimantan, Korea Selatan, Filipina, Thailand, Mexico, Sri Lanka, Jepun dan Uzbekistan. Manakala 10 buah negeri di Malaysia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.
PJ Folklore 2022 melibatkan 31 program secara percuma seperti PJ Fight Night (MMA), Pocket Show, Asian Food Festival, Pameran Busana & Jualan Pelbagai, Wayang Kulit (Pok Chu), Dikir Barat (Issey), Persembahan Kebudayaan Antarabangsa, Konsert WINGS Ceritera Rakyat dan lain-lain.
Orang ramai amat digalakkan untuk terus berinteraksi, bersama MBPJ di media sosial rasmi MBPJ iaitu di Facebook: Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Instagram dan twitter: pjcitycouncil serta laman sesawang MBPJ www.mbpj.gov.my.
Festival ini baru sahaja bermula dan diadakan sehingga 4 Disember 2022 bertempat di Dataran Petaling Jaya dan Pusat Bandar Seksyen 52 Petaling Jaya.